Mengaku salah miliki rokok seludup

Mengaku salah miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas tuduhan memiliki pelbagai jenis rokok seludup.

Saiful Mahari bin Hamidon, 30, mengaku bersalah di hadapan Pemangku Majistret Kanan Azrimah Haji Abdul Rahman atas dakwaan memiliki 51 karton rokok seludup pada 17 Februari 2015 kira-kira jam 1:05 petang.

Tertuduh didapati memiliki rokok itu di dalam bonet belakang kereta yang dipandunya ketika berada di kawasan Kampung Wasan.

“Kenapa kamu melakukan perbuatan ini buat kali kedua,” tanya Pemangku Majistret setelah mendapati tertuduh sebelum ini pernah disabit bagi kesalahan yang sama.

Tertuduh hanya menjawab “cari makan”.

“Adakah kamu fikir ini adalah cara terbaik untuk mencari rezeki,” tanya Pemangku Majistret lagi yang mana tertuduh hanya menjawab dia terpaksa menyeludup rokok kerana gaji $415 yang diterimanya tidak mencukupi.

Pemangku Majistret menetapkan 26 Mei 2015 untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL YANG SAMA