Mengaku sebabkan kematian anak saudara

Mengaku sebabkan kematian anak saudara

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Kes seorang lelaki tempatan yang didakwa menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, yang juga anak saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Ketika pertuduhan dibacakan, lelaki berusia 29 tahun yang namanya tidak dapat didedahkan mengaku bersalah atas dua tuduhan iaitu menyebabkan kematian terhadap mangsa yang berusia tiga tahun dan melakukan kekerasan terhadap mangsa yang di bawah jagaannya hingga mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ketiga dan keempat iaitu mendera seorang lagi kanak-kanak (mangsa Y) di bawah jagaannya yang berusia enam tahun hingga mengalami kecederaan fizikal dan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan bahan panas pada beberapa bahagian badan mangsa Y.

pg06_160926_mahkamah-logo

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Ogos 2016, antara Januari 2015 dan Julai 2016 di Perpindahan Mentiri Awam.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurjauinah binti Haji Kula memohon untuk tertuduh dibicarakan dan akan memanggil dua orang saksi berusia 14 tahun ke bawah.

Hakim Pengiran Datin Paduka Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman menetapkan November 2016 untuk perbicaraan tertuduh, dan menolak permohonan tertuduh untuk dilepaskan dengan ikat jamin.

ARTIKEL YANG SAMA