Mengaku tidak bersalah cedera isteri

Mengaku tidak bersalah cedera isteri

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160412_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Seorang suami yang berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Mohammad Faizal bin Awang Burot/Karim, 27, didakwa menggenggam pergelangan tangan kirinya, menumbuk lengan kanan atas dan memukul kepala Hajah Hamidah binti Haji Taha/Duraman yang berusia 30 tahun itu berulang kali.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta pada 22 Mac 2016 kira-kira jam 12:45 tengah hari di kawasan The Airport Mall.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Hukuman Jenayah yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Sharon Yeo memaklumkan mahkamah bahawa laporan perubatan dari Hospital RIPAS sudah pun siap.

Memandangkan tertuduh tidak mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya memberitahu mahkamah, dia akan memanggil tujuh orang saksi untuk memberikan keterangan manakala tertuduh tidak mempunyai saksi sebagai pembelaannya.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 25 April untuk penetapan tarikh perbicaraan, dan melanjutkan ikat jamin tertuduh.

ARTIKEL YANG SAMA