Mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

Mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Seorang pegawai kerajaan yang berdepan empat pertuduhan rasuah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes, dan melanjutkan tempoh ikat jamin Haji Othman bin Judin, yang merupakan pegawai tugas-tugas khas di Unit Pengurusan Hartanah.

Tertuduh didakwa menerima bekalan dan penanaman rumput ‘Zoysia Materella’ yang berjumlah kurang daripada $1,300 sebagai sebahagian daripada kerja-kerja landskap yang dijalankan di kediamannya di Kampung Perpindahan Lambak Kanan daripada KN Nursery (B) Sdn Bhd antara Jun 2009 dan 23 Disember 2012.

Dia juga menghadapi pertuduhan menerima 19 set 23W CLF Bollard Light yang berjumlah $3,800, juga sebagai sebahagian daripada kerja landskap yang dijalankan di kediamannya yang diberikan oleh Ting Sii Raja Bekalan Elektrik Sdn Bhd (TSK Sdn Bhd) di antara Jun 2009 dan 26 Disember 2012.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima bekalan dan pemasangan kabel bawah tanah, 19 asas konkrit dan pemasangan 19 set 23W CLF Bollard Light, juga sebagai sebahagian daripada kerja landskap yang dijalankan di kediamannya, yang berjumlah kurang $1,600 daripada Everwide Darussalam Sdn Bhd antara Jun 2009 dan 8 April 2013.

Tertuduh juga berdepan dakwaan menerima pelan struktur dan seni bina untuk pengubahsuaian kediamannya yang berjumlah $12,000 daripada Booty Edwards dan Partners antara Jun 2012 dan Mac 2013.

Kesemua empat syarikat itu dipercayai mempunyai hubungan dengan tertuduh yang berperanan sebagai pegawai tugas-tugas khas.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Christopher Ng manakala tertuduh diwakili Peguam Yusuf Halim.