Mengakui bersalah jalani perkhidmatan pergigian

Mengakui bersalah jalani perkhidmatan pergigian

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Seorang wanita penduduk tetap mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam, atas 22 pertuduhan menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa lesen di kediamannya, pada 2012 hingga April 2014.

Hayimmah Bahri, 29, didakwa menawarkan perkhidmatan pendakap gigi dan nasihat kepada pelanggannya yang diperolehinya menerusi media sosial, Facebook.

Perbuatan tertuduh hanya disedari apabila salah seorang ahli Lembaga Perubatan Brunei membuat laporan kepada pihak polis selepas mendapati sejumlah pesakit datang ke klinik gigi kerajaan untuk mendapatkan rawatan pada pendakap yang dipasang oleh jurujual melalui akaun Facebook “Sop Chery Chery” dan “Braces Orthodontics Brunei” kerana pendakap yang dipasang itu telah menyebabkan kerosakan pada gigi dan tisu sokongan.

Polis telah membuat serbuan di rumah tertuduh di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku sekitar 9:15 pagi, pada 12 April 2014, dan merampas peralatan penyokong gigi, sarung tangan, kerusi pergigian, buku resit, peralatan pergigian berserta pengecas, alat pendakap dan set alat ortodontik lain.

Tertuduh memberitahu dia belajar bagaimana untuk memasang pendakap gigi itu di Madura, Indonesia pada tahun 2005, dan memulakan perkhidmatannya penghujung tahun 2012.

Tertuduh turut mendedahkan bahawa dia mengenakan bayaran $150 hingga $450 untuk setiap pendakap yang dipasang, dan harga itu bergantung pada keadaan gigi pelanggannya.

Dia turut mengenakan bayaran $15 hingga $30 untuk pemeriksaan bulanan.

Tertuduh memberitahu, dia membeli peralatan pergigian itu melalui akaun Facebook ‘LN Behel Shop’ yang berpangkalan di Jakarta, dan membeli kerusi pergigian itu melalui eBay.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta Pengamal dan Doktor Perubatan, Penggal 112 yang memperuntukkan pemenjaraan yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan denda.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 2 Mei untuk sebutan hukuman, dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga tarikh hukuman.

Terdahulu, tertuduh merayu untuk hukuman diringankan kerana dia mempunyai dua orang anak yang masih kecil, dan apa yang dilakukannya itu hanyalah untuk memperolehi pendapatan sampingan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff.