Mengapa elaun tambang 10 tahun tidak selaras

Mengapa elaun tambang 10 tahun tidak selaras

ELAUN Tambang kepada para pegawai tempatan yang berjawatan tetap yang menerima gaji melebihi $1,930 sebulan dan setelah berkhidmat selama 10 tahun. Elaun tambang ini akan diberikan hanya sekali sahaja sepanjang perkhidmatan.

Elaun tambang akan ditiadakan bermula dari 1 Januari 2017.  Terlebih dahulu ucapan terima kasih di atas pemberian Elaun Tambang ini kepada para pegawai tempatan yang layak menerimanya.

Namun begitu, yang amat menjadi tanda tanya adalah kenapa pemberian elaun ini tidak selaras antara pegawai-pegawai lelaki yang berkahwin dan pegawai-pegawai wanita yang berkahwin.

Jikalau dikira dari sudut perjawatan, jawatan yang disandang adalah sama selari dengan syarat-syarat kelayakan memegang perjawatan tersebut. Peranan dan tanggungjawab yang dipegang oleh pegawai lelaki dan wanita juga sama.

Waktu dan masa bekerja juga sama. Ada kalanya seseorang pegawai wanita itu menerima tugas dan tanggungjawab yang lebih berat daripada pegawai lelaki.

Persoalannya, mengapa pula apabila pemberian elaun tambang ini, pegawai-pegawai lelaki yang berkahwin layak dan dapat menuntut elaun tambang bersama isteri tidak kira sama ada isterinya bekerja dengan kerajaan atau swasta atau tidak bekerja, manakala pegawai-pegawai wanita yang berkahwin hanya layak dan dapat menuntut elaun untuk dirinya sahaja.

Apakah alasan yang wajar daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)? Beberapa pertanyaan telah diajukan kepada JPA samada melalui Facebook rasmi JPA mahupun kaunter pertanyaan. Pertanyaan melalui Facebook ada antaranya dijawab, tetapi tidak menjawab persoalan.

Banyak jawapan yang diberikan hanya dikaitkan dengan elaun cuti (empat tahun sekali). Tidak kurang juga pertanyaan yang langsung tidak dilayan dan diabaikan sahaja.

Selain itu, ada juga pertanyaan yang diajukan melalui kaunter dan pegawai-pegawai JPA, jawapan yang diterima adalah pegawai lelaki adalah ketua keluarga, maka wajarlah pegawai-pegawai lelaki menerima elaun tambang bersama isteri.

Apa kaitannya perjawatan di dalam perkhidmatan awam dengan perjawatan di dalam rumah tangga? Berkemungkinan pegawai JPA tersebut berniat untuk sekadar memberi jawapan yang beliau sendiri tidak pasti apa sebabnya.

Memandangkan Elaun tambang ini hanya diberikan sekali sahaja sepanjang perkhidmatan, adalah dipohon dan diseru agar JPA dapat mempertimbangkan semula bagi permohonan pegawai-pegawai wanita yang telah berkahwin dan telah membuat permohonan tuntutan elaun tambang ini bersama suami untuk diberikan haknya sebagaimana pegawai-pegawai lelaki yang telah berkahwin. – Penjawat Awam

ARTIKEL YANG SAMA