Mengawas sambil beramal

Mengawas sambil beramal

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Anggota Balai Polis Limau Manis dan anggota Daerah Polis Brunei-Muara, malam tadi, telah menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Bebuloh, Mukim Pengkalan Batu.

Rondaan berkenaan telah diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Abdul Shahrimin bin Abdul Rahman dan turut disertai oleh Ketua Kampung Bebuluh, Haji Muhd Said bin Tundak.

Operasi rondaan yang meliputi kawasan di bawah Mukim Pengkalan Batu itu, bagaimanapun, tidak menemui sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Selain daripada bersama-sama menjaga keamanan kampung, Balai Polis Berakas bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan RPN Lambak Kanan Kawasan 2, juga telah mengadakan aktiviti berkebajikan dengan membersihkan kawasan rumah orang kurang upaya.

Gambar ramai anggota Balai Polis Limau Manis dan anggota Daerah Polis Brunei-Muara semasa menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Bebuloh, Mukim Pengkalan Batu.
Gambar ramai anggota Balai Polis Limau Manis dan anggota Daerah Polis Brunei-Muara semasa menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Bebuloh, Mukim Pengkalan Batu.

Aktiviti tersebut dihadiri oleh Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis Percubaan Pengiran Haji Mohammad Saiful Ariff bin Pengiran Haji Duraman serta ahli-ahli pengawasan kejiranan dan majlis perundingan kampung yang diketuai oleh Ketua Kampung RPN Lambak Kanan Kawasan 2, Haji Basri bin Abu Bakar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kerja amal membersihkan rumah dan kawasan rumah seorang balu, Dayang Rahimah binti Wahid di Jalan 88, RPN Lambak Kanan, tersebut selesai pada jam 9:30 pagi disudahi dengan penyampaian sumbangan daripada Balai Polis Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA