Mengellella FT berentap Menglait FC 21 Oktober ini

Mengellella FT berentap Menglait FC 21 Oktober ini

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Mengellela FT membuat janji temu dengan pasukan Liga Perdana DST 2015, Menglait FC pada 21 Oktober nanti pada Pusingan Kedua Piala FA-DST 2015 setelah berjaya menundukkan FC Phosphor 3-1 dalam saingan pusingan pertama malam tadi.

Mengellella FT tidak dapat mengharapkan permulaan yang lebih baik dalam keadaan cuaca hujan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan apabila Awangku Mohd Haffiz bin Pengiran Suhardi memanfaatkan peluang untuk meledakkan gol pertama pasukannya pada minit ke-2.

Walaupun sudah mendahului 1-0, Mengellela FT terus menguasai permainan dengan kawalan-kawalan bola yang baik di sebalik keadaan cuaca yang kurang mengizinkan sehingga acap kali menggugat pertahanan dan gawang FC Phosphor, hanya kegagalan menepati sasaran menghalangnya dari menambah jaringan.

Aksi Piala FA DST 2015 Pusingan Pertama antara Mengellela FT (hijau) dengan FC Phosphor yang dimenangi Mengellela FT 3-1.
Aksi Piala FA DST 2015 Pusingan Pertama antara Mengellela FT (hijau) dengan FC Phosphor yang dimenangi Mengellela FT 3-1.

Gol kedua muncul pada minit ke-31 apabila bola lambung hantaran jauh pertahanan Mengellela FT gagal ditanduk baik pertahanan FC Phosphor menyebabkan bola tepat ke kaki Mohd Saifullah bin Sahriffin yang terus menggunakan kelajuannya meninggalkan dua pertahanan FC sebelum menewaskan penjaga gol FC Phosphor.

Membawa kedudukan 2-0 ke babak kedua, Mengellela FT terus bersemangat mendapatkan gol tambahan yang ternyata berbaloi hanya enam minit selepas perlawanan dimulakan semula untuk semakin selesa mendahului 3-0 hasil jaringan Abdul Rahman bin Haji Adris.

Walaupun FC Phosphor akhirnya berjaya membolosi gawang Mengellela FT pada minit ke-59, hanya lapan minit selepas ketinggalan 0-3, ternyata jaringan itu hanya menjadi gol saguhati kerana menjadi gol terakhir perlawanan untuk keputusan muktamad Mengellela FT menang 3-1.