Mengembalikan seri Tutong

Mengembalikan seri Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Okt – Bagi mendukung usaha Jabatan Daerah Tutong untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi dan sentiasa dikunjungi oleh orang ramai, Program Kempen Kebersihan Bersepadu terus diadakan di Taman Rekreasi Sungai Basong, kelmarin.

Kempen tersebut melibatkan beberapa agensi kerajaan di Daerah Tutong termasuk Jabatan Daerah Tutong; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi E Tutong; ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong; puak dan masyarakat Daerah Tutong serta ahli-ahli Sukarelawan Daerah Tutong.

Hadir sama menyertai kempen berkenaan ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Kempen berkenaan antara lain melibatkan kerja-kerja membersihkan dan membaikpulih jambatan pentas persembahan dan sebahagian replika rumah-rumah budaya masyarakat Daerah Tutong serta membersihkan sekitar kawasan taman herba.

Taman Rekreasi Sungai Basong khususnya kawasan taman herba dan rumah-rumah budaya masyarakat Daerah Tutong tersebut dikenal pasti sebagai salah satu taman yang berpotensi untuk dikembang majukan sebagai tempat tumpuan para pelancong dalam Program Destinasi Tutong.

Program Kempen Kebersihan Bersepadu yang diadakan di Taman Rekreasi Sungai Basong, Tutong.
Program Kempen Kebersihan Bersepadu yang diadakan di Taman Rekreasi Sungai Basong, Tutong.

Melalui program itu, rumah-rumah budaya berkenaan dirancang untuk dikembangkan lagi dengan pengisian persembahan-persembahan kebudayaan dan pameran barang-barang khazanah budaya masyarakat di daerah ini dengan kerjasama daripada para pemimpin masyarakat serta agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Kempen ini juga merupakan salah satu inisiatif untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa prihatin dan bersikap bertanggungjawab dalam sama-sama menjaga kebersihan persekitaran daerah ini termasuklah kawasan di mukim-mukim, kampung, taman dan tempat riadah di daerah ini termasuklah kawasan-kawasan dan premis milik persendirian, kawasan sekolah dan jalan-jalan raya.

Ia juga sebagai kesinambungan kepada Program Kempen Bersepadu yang telah pun diadakan pada Jun yang lalu.

ARTIKEL YANG SAMA