Mengenakan pakaian kostum di Sambutan Hari Guru

Mengenakan pakaian kostum di Sambutan Hari Guru

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Sekolah Rendah Junjongan turut tidak ketinggalan menyambut Sambutan Hari Guru yang diselajurkan dengan Hari Kostum yang diadakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Majlis itu diadakan sebagai salah satu program dalam kalendar tahunan sekolah berkenaan dalam menyambut Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan sementara Hari Kostum merupakan pertama kali diperkenalkan pada sambutan kali ini.

Hari Kostum mendapat respons dan sambutan yang menggalakkan daripada kalangan warga sekolah apabila guru-guru dan murid-murid serta kakitangan sekolah memakai pakaian kostum pelbagai jenis.

Di samping itu, beberapa aktiviti persembahan juga dijalankan seperti persembahan nyanyian dan pertandingan pakaian kostum terbaik guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah.

Majlis juga dimeriahkan lagi dengan kuiz Hari Guru untuk murid-murid, pertukaran hadiah dan cabutan bertuah untuk guru-guru dan kakitangan sekolah.

Acara yang dikendalikan oleh murid-murid Tahun 6 itu turut dimeriahkan dengan acara memotong kek Hari Guru yang disediakan oleh para pelajar Tahun 6.

Salah seorang guru sekolah berkenaan ketika ditemui menjelaskan majlis tahun ini merupakan satu pendekatan yang baru dan kelainan dan dihasratkan akan menjadi satu perubahan yang positif dalam kalangan warga sekolah.

“Kita perlu memberi kelainan dan perubahan, dan tahun ini dengan memakai pakaian kostum bagi memeriahkan lagi suasana yang mana ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga sekolah. Acara positif ini akan kami teruskan sebagai acara tahunan dengan tema yang berlainan di masa akan datang,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA