Mengenal keindahan bahasa, budaya Jepun

Mengenal keindahan bahasa, budaya Jepun

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Sept – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam buat julung-julung kalinya telah mengadakan sesi ‘The Japanese-Language Taster’ bagi pelajar sekolah-sekolah menengah untuk memberi mereka kefahaman tentang keindahan bahasa dan budaya Jepun, di Bilik Persidangan, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB), Tutong.

Sesi yang dibiayai oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Jepun itu telah disampaikan oleh dua orang pensyarah Bahasa Jepun dari Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Yuki Akita dan Sakuya Homma.

Dalam sesi tersebut, para pelajar diberi penerangan serba sedikit mengenai adat dan budaya masyarakat Jepun dan bagaimana bercakap dalam Bahasa Jepun serta diperkenalkan tentang struktur utama ‘Watashi wa___desu’, yang mana para pelajar diajar membuat ayat dengan mengisi tempat-tempat kosong mengenai maklumat peribadi mereka seperti nama, bangsa, pekerjaan dan umur.

Yuki Akita dan Sakuya Homma ketika menyampaikan sesi ‘The Japanese Language Taster’.
Yuki Akita dan Sakuya Homma ketika menyampaikan sesi ‘The Japanese Language Taster’.
 Pelajar-pelajar yang terpilih bagi mengikuti sesi berkenaan di Bilik Persidangan, SMSB, Tutong.
Pelajar-pelajar yang terpilih bagi mengikuti sesi berkenaan di Bilik Persidangan, SMSB, Tutong.

Selain itu, para pelajar juga diperkenalkan dengan sistem tulisan Jepun dan ditunjuk ajar mengenai cara-cara membuat origami.

Pada tahun ini, hanya tiga buah sekolah menengah telah terpilih untuk mengikuti sesi berkenaan iaitu SMSB, Sekolah Menengah Sayyidina Husain pada 22 September (esok) dan Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha Tutong pada 24 September nanti.

Turut hadir pada sesi itu ialah Pengetua SMSB, Dayangku Hajah Norahizan binti Pengiran Haji Bungsu.

ARTIKEL YANG SAMA