Mengeratkan hubungan dalam sukan ria serumpun

Oleh Lenna N.B.

 

KELIHATAN wajah kanak-kanak yang riang ketawa, sementara ibu bapa pula bergerak aktif bersenam bersama keluarga dan jiran-jiran.

Budaya berjiran seperti yang kita ketahui adalah amalan yang diwarisi sejak zaman berzaman lamanya. Malah, dalam Islam juga mendorong umatnya hidup berjiran dan saling hormat menghormati, tolong-menolong, bertolak-ansur dan mengeratkan lagi ikatan silaturahim.

Jiran adalah insan umpama keluarga kita sendiri, kerana mereka hidup dekat dengan kita dan jiran juga merupakan insan pertama tempat kita meminta bantuan untuk menjaga rumah atau menjadi sahabat tempat kita berkumpul pada waktu yang terluang.

Demi membakar semangat kejiranan, Sukan Ria Serumpun Warga Simpang 85 dan Muslimah baru-baru ini, telah diadakan oleh Kejiranan Serumpun Warga Simpang 85, iaitu terdiri daripada penduduk Simpang 85, RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mentiri yang terletak di Jalan Bukit Bintagur.

200 orang penduduk menyerikan Sukan Ria

Sebanyak 36 buah rumah dalam simpang berkenaan ikut serta dalam aktiviti sukan ria tersebut iaitu merangkumi kira-kira 200 orang penduduk.

Ucapan Pengerusi Acara, Awang Sufri.
Permainan mengutip gula-gula terbanyak, dicipta khas untuk kanak-kanak lima hingga lapan tahun.
Salah seorang penduduk menerima hadiah setelah memenangi salah satu daripada permainan-permainan yang diadakan.
Permainan keluarga bertajuk ‘Ingat Daku Di Penghujung Mu’ iaitu permainan menjadi mami menggunakan tisu gulung.

Menariknya setiap keluarga dari rumah-rumah yang ikut serta itu, telah mencipta dua buah permainan khas untuk seisi keluarga jiran-jiran yang menyerikan sukan ria itu. Hadiah bagi setiap permainan juga ditaja oleh setiap tuan rumah.

Setiap permainan diberi nama dengan nama yang kreatif oleh penciptanya. Antaranya ialah permainan ‘Adik Manis’, ‘Lipatan Maut’, ‘Mata dan Suara’, ‘Bila tah habisnya’, permainan ‘Angkat Baldi’, ‘Happy Shopping’, ‘Itik Pulang Petang’, ‘Rambang Mata’, ‘Kail dan Sudu’, ‘Manis Gula’, ‘Biar Pecah Di Bumi, Jangan Pecah Di Tangan’, ‘Kau Punya Pasal’, ‘Ingat Daku di Penghujung Mu’, ‘Ikat Tak Mati’, ‘Pendekar Mustar’, ‘Abu Hassan Pencuri’, ‘Kanda Berhias’ dan banyak lagi sehingga 30 jenis permainan.

Permainan-permainan ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak, tetapi juga remaja, belia dan pasangan suami isteri yang menetap di Simpang 85. Acara sukan ria itu bermula sekitar jam tujuh pagi di Taman Riadah, Kawasan Simpang 85, Jalan Bukit Bintagur, RPN. Kampung Panchor, Mengkubau, Mentiri, diikuti dengan sukan ria permainan-permainan yang dicipta oleh kejiranan, dan pelbagai senaman.

Pengisian program turut merangkumi cabutan nama bertuah, meneka harga bungkusan barang dapur, menulis karangan bertajuk ‘Hidup Berkeluarga Serumpun’ khas untuk remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun serta aktiviti mewarna untuk kanak-kanak berusia empat tahun hingga lapan tahun.

Mengeratkan hubungan

Sebalik acara tersebut, sebenarnya hasil muafakat kejiranan serumpun warga simpang 85, sebagai wadah untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan antara jiran-jiran di mana ia dapat menyatupadukan ukhuwah kekeluargaan hidup berjiran. Dengan itu, terjalinlah kebahagiaan hidup berjiran yang lebih erat antara suka dan suka serta susah dan senang dipikul bersama.

Para suami setelah di solek isteri dalam satu permainan pasangan suami isteri.
Menguji minda kanak-kanak melepaskan diri daripada ikatan tali.
Sekitar kemeriahan acara Sukan Ria Serumpun Warga Simpang 85 dan Muslimah.

Di samping itu, ia juga sebagai acara hari minggu untuk seisi keluarga yang kadang-kala ingin meluangkan waktu berseronok bersama yang setentunya merapatkan lagi ahli-ahli keluarga terutamanya ketika pada zaman moden ini, pada ketika institusi keluarga mengalami cabaran kerana pengaruh teknologi.

Kemeriahan itu kian dirasai lagi, pada ketika ini, anak-anak sedang cuti sekolah, setentunya ingin mengisi dan meluangkan waktu dengan aktiviti yang bermanfaat dan berfaedah.

Melalui permainan-permainan yang direka bentuk, para peserta bukan sahaja terhibur, tetapi melatih minda dan fizikal mereka bagaimana dapat menyelesaikan setiap permainan dalam waktu yang singkat, yang juga mendorong sikap berpasukan dalam kalangan peserta.

Sementara itu, melalui aktiviti senamrobik, acara sukan ria itu juga diharapkan dapat mendidik warga kejiranan untuk mengamalkan gaya hidup sihat yang merupakan antara isu penting diketengahkan pada akhir-akhir ini.

Dalam erti kata yang lain, gaya hidup sihat itu dinikmati dengan cara yang menghiburkan, santai dan menyeronokkan.

Julung kali diadakan

Acara Sukan Ria Serumpun Warga Simpang 85 dan Muslimah ini adalah julung kali diadakan dan ia dirancang akan terus menjadi acara tahunan, sebagai aktiviti kampung yang mengeratkan silaturahim antara kejiranan penduduk Simpang 85. Eratnya silaturahim itu secara tidak langsung mencipta tali persahabatan dan persaudaraan yang sungguh bererti dan bermakna, sekali gus mendidik generasi-generasi kemudian tentang pentingnya hidup berjiran sebagai khazanah warisan bermasyarakat yang patut diwarisi, diteladani dan dicontohi.