Menghapus penyakit untut di pedalaman

Menghapus penyakit untut di pedalaman

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 19 Okt – Kira-kira 30 orang penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja, Labi telah menerima pemberian ubat Mass Drug Adminstration (MDA) bagi menghapuskan penyakit Filaria Limfatik (penyakit untut).

Pemberian ubat tersebut dikendalikan oleh para pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Belait melalui program jerayawara penghapusan penyakit tersebut dengan kunjungan-kunjungan diadakan di kawasan pedalaman, dekat sini, kelmarin.

Penyakit tersebut yang turut dikenali sebagai ‘kaki gajah’ atau ‘untut’ merupakan penyakit berjangkit disebabkan cacing halus ‘Mikrofilaria’ yang menganggu sistem limfatik manusia. Penyebab penyakit itu ialah cacing parasit ‘Brugia Malayi’ berbentuk benang yang dipanggil filaria dan membiak di dalam saluran limfa manusia yang dijangkiti.

Penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja semasa mendengar penjelasan daripada para pegawai yang terlibat di dalam Program Pemberian Ubat MDA.
Penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja semasa mendengar penjelasan daripada para pegawai yang terlibat di dalam Program Pemberian Ubat MDA.
Rombongan Program Pemberian Ubat MDA bersama penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja Labi.
Rombongan Program Pemberian Ubat MDA bersama penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja Labi.

Penyakit itu disebarkan oleh nyamuk Culex, Aedes, Anopheles dan Mansonia yang menggigit individu yang telah dijangkiti. Pencegahannya adalah dengan mengelakkan diri daripada terdedah kepada gigitan nyamuk, kawasan bebas daripada pembiakan nyamuk dan program pemberian ubat MDA.

Program Pemberian Ubat MDA pusingan ketiga 2015 ini bermula dari awal Oktober dan akan berakhir pada penghujung November depan melalui operasi yang melibatkan enam orang kakitangan Jabatan Kesihatan Alam Sekitar, Pejabat Kesihatan Daerah Belait dan satu pasukan dari rumah ke rumah dengan menyasarkan penduduk Mukim Labi, Mukim Bukit Sawat, Mukim Sukang dan Mukim Melilas, yang mempunyai keramaian penduduk sekitar 1,674 orang dan sasaran pencapaian sejumlah 65 peratus melalui program tersebut.