Menghayati nilai sejarah dan khazanah warisan budaya

Menghayati nilai sejarah dan khazanah warisan budaya

Oleh Lenna N.B.

 

WALAUPUN Negara Brunei Darussalam, sebuah negara yang kecil tetapi tetap memiliki sejarah warisan kebudayaan dan khazanah yang luas. Dalam memberigakan keindahan negara kecil ini, dua buah pameran sedang berlangsung di Bangunan Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan bermula sejak 7 Januari lalu dan akan berlangsung hingga 31 Januari ini, iaitu pameran Jejak Warisan dan pameran karya-karya seni lukis yang bertemakan Tanah Airku Permai.

Pameran Jejak Warisan

Lokasi-lokasi seperti Bangunan Setiausaha Kerajaan, Bangunan Kastam dan Eksais Diraja, Bekas Bangunan Lapau Lama, Gerbang Perpuspaan 1968, Tugu Jam, Bangunan Dewan Majlis dan Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien merupakan antara monumen-monumen jejak warisan yang terletak di sekitar ibu negara yang jelas menjadi simbol perkembangan sejarah, budaya, seni, dan pemerintahan Negara Brunei Darussalam.

Melalui pameran Jejak Warisan ini, detik peristiwa tapak-tapak sejarah dan monumen tersebut yang diwartakan di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, Semakan 1984, 1991 dan 2002 telah ditampilkan, bermula daripada tapak Kota Batu, bangunan Bumbungan Dua Belas, Istana Darussalam, Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong dan Mahkamah, Istana Pantai, Tapak Lombong Batu, Makam Sultan-Sultan Brunei, dan banyak lagi yang mencapai sehingga 36 buah tapak monument di seluruh daerah di negara ini.

Projek Jejak Warisan ini merupakan susulan projek bersempena Pelancaran Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Raya Kebudayaan ASEAN 2016-2018. Justeru itu, sepanjang dua tahun ini, Bandar Seri Begawan akan mempamerkan khazanah seni, budaya dan sejarahnya.

Lakaran lukisan ‘Kampung Lurong Sikuna’ karya Dato Shofry Ghafar.
Lakaran lukisan ‘Kampung Lurong Sikuna’ karya Dato Shofry Ghafar.
Suasana ketika para penduduk Brunei hendak menunaikan ibadah haji melalui Kampong Ayer pada masa lalu.
Suasana ketika para penduduk Brunei hendak menunaikan ibadah haji melalui Kampong Ayer pada masa lalu.
Suasana menikmati hidangan tradisi Brunei, ‘Makan Ambuyat’ karya Awang Osman bin Bakir.
Suasana menikmati hidangan tradisi Brunei, ‘Makan Ambuyat’ karya Awang Osman bin Bakir.
Haji Dayang bin Haji Mutalip menggambarkan keindahan Sungai Belalong.
Haji Dayang bin Haji Mutalip menggambarkan keindahan Sungai Belalong.
Suasana tambing yang dipenuhi dengan payung-payung berwarna-warni yang divisualkan oleh Awang Tarip bin Haji Ladis.
Suasana tambing yang dipenuhi dengan payung-payung berwarna-warni yang divisualkan oleh Awang Tarip bin Haji Ladis.

Turut menyerikan pameran adalah gambar-gambar lama yang menampilkan sekitar suasana Bandar Seri Begawan di mana ia jelas dapat memperlihatkan perubahan dan pembangunan ibu negara dari tahun 1970, 2004, hingga tahun 2008, detik-detik peristiwa penting seperti acara perlumbaan regata, sambutan Hari Kebesaran Negara, penduduk Brunei menunaikan ibadah haji dan sebagainya.

Tidak kurang juga karya-karya seni lukis artis tempatan yang mengetengahkan budaya, keindahan Kampong Ayer, masyarakat Brunei yang rapat dengan sungai serta alam semulajadi dan sebagainya.

Menariknya dalam pameran ini, terdapat sudut kuiz teka-teki gambar-gambar yang sengaja dibentuk dengan imej berbeza mengikut kepada tempat-tempat yang cukup dikenali di negara ini bagi memberikan kesan interaksi dengan pengunjung.

Pameran Tanah Airku Permai

Sesuai dengan tema kebudayaan dan keindahan Negara Brunei Darussalam, sudut Pameran Tanah Airku Permai mengetengahkan lebih daripada 30 buah lukisan-lukisan karya artis-artis tanahair yang terdiri daripada pelukis-pelukis di Jabatan Muzium-Muzium.

Keindahan Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dari Kampung Tamoi, sebuah lagi karya Haji Padzil bin Haji Ahmad.
Keindahan Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dari Kampung Tamoi, sebuah lagi karya Haji Padzil bin Haji Ahmad.
Perubahan pembangunan sekitar Bandar Seri Begawan dari tahun 1970, 2004 dan 2008.
Perubahan pembangunan sekitar Bandar Seri Begawan dari tahun 1970, 2004 dan 2008.
Keindahan sekitar Kampung Sungai Kedayan, karya Haji Padzil bin Haji Ahmad.
Keindahan sekitar Kampung Sungai Kedayan, karya Haji Padzil bin Haji Ahmad.
Pengunjung ketika sedang menghayati sekitar pameran di Galeri Seni, Bandar Seri Begawan.
Pengunjung ketika sedang menghayati sekitar pameran di Galeri Seni, Bandar Seri Begawan.

Antara yang diketengahkan adalah potret-potret Keluarga Diraja, permainan tarik kalat yang merupakan permainan tradisi Brunei sejak dahulu lagi, sekitar Sungai Brunei dan Kampong Ayer, aktiviti padian yang telah hilang ditelan zaman, makanan tradisi Brunei, dan sebagainya yang jelas menggambarkan keindahan kebudayaan masyarakat Brunei.

Setiap pelukis mempunyai interpretasi yang berbeza, namun masing-masing berusaha untuk menggambarkan identiti keBruneian melalui kanvas, sekaligus menghayati semangat cinta mereka kepada bangsa dan negara tercinta.

Bagi orang ramai yang ingin mengunjungi pameran di Galeri Seni tersebut, waktu operasinya adalah bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang bagi setiap hari Isnin hingga Ahad, kecuali hari Jumaat, 9:00 hingga 11:30 pagi dan dari jam 2:30 hingga 5:00 petang.

Pameran tersebut bukan sahaja membawa kita untuk memahami tapak-tapak sejarah di sekitar Brunei, tetapi juga turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk menghayati keindahan budaya, kesenian, dan alam semulajadi negara ini melalui panorama matahari terbenam yang menyinari kubah masjid, tambing Kampong Ayer yang dimeriahkan

dengan suasana payung-payung berwarna-warni, kehijauan bumi Brunei yang kaya dengan flora dan

fauna dan banyak lagi khazanah Brunei yang divisualkan dalam bentuk seni lukis melalui mata karyawan tanahair kita.