Menghayati Nuzul Al-Quran

Menghayati Nuzul Al-Quran

Oleh Siti Nur Wasimah S., Pg Fairol RMF & Yusrin Junaidi

Gambar Oleh Siti Nur Wasimah S., Pg Fairol RMF & Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran pada tahun ini, pelbagai pihak di negara ini termasuk kementerian-kementerian kerajaan terus mengadakan majlis-majlis keagamaan bagi memperingati hari yang amat penting bagi umat Islam.

Antara yang memperingati hari bersejarah ayat-ayat suci Al-Quran diturunkan itu ialah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Kampung Bunut, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Majlis dimulakan dengan solat fardu Zohor berjemaah dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta tafsirannya, kemudian disusuli dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah dari Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Mohammad Khariul Nazif bin Haji Awang Damit.

Majlis berkenaan merupakan acara tahunan anjuran KHEDN yang mana pada tahun ini ia dianjurkan bersama oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan juga Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC).

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menghadiri Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Kampung Bunut, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menghadiri Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Kampung Bunut, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan kelmarin.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan pula juga mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin serta hampir 100 orang pegawai dan kakitangan di kementerian tersebut.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis sebelum diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.

Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban sebelum diakhiri dengan Doa Selamat dan Kesyukuran.

Kementerian Pertahanan pula menyambut Nuzul Al-Quran dengan mengadakan Majlis Ceramah Khas yang diadakan di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

Timbalan Menteri Pertahanan selaku tetamu kehormat Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison kelmarin.
Timbalan Menteri Pertahanan selaku tetamu kehormat Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, ahli-ahli Komiti Eksekutif Pertahanan, para pengarah tentera dan awam, para pegawai kanan, pegawai, PTB Kanan dan rendah serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan.

Majlis didahului dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh 16791 Kpl Yusri bin Haji Awang Yusof diikuti dengan solat fardu Zohor berjemaah sebelum mendengarkan Ceramah Khas Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh penceramah undangan, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak dengan tajuknya ‘Al-Quran Penawar dan Ubat bagi Rohani dan Jasmani’.

Ceramah Khas ini turut diadakan serentak di kesemua surau-surau perkhemahan dan garison ABDB dan Kementerian Pertahanan.

ARTIKEL YANG SAMA