Mengimbau pengorbanan veteran perang

Mengimbau pengorbanan veteran perang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Mereka yang gagal untuk memperingati pengorbanan warga sebelumnya (veteran) adalah mereka yang gagal kepada negara mereka.

Demikian kata Menteri Hal Ehwal Veteran Menteri Hal Ehwal Veteran Australia, Senator Michael Ronaldson ketika berucap di Perasmian Pameran Kisah-kisah Dalam Kenangan yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, para perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.

Senator Ronaldson yang juga Menteri membantu Perdana Menteri Australia berkata, pameran itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna bukan sahaja bagi mengenang jasa anggota-anggota tentera yang gugur semasa pendaratan di Borneo tetapi ia menceritakan keberanian dan ketabahan masyarakat Brunei dalam menghadapi tempoh yang penuh rintangan itu.

Katanya, pameran itu menjadi tanda persahabatan yang kukuh di antara kedua-dua buah negara yang mengongsi kisah penting dalam sejarah kedua-dua negara.

Yang Berhormat Pehin dan Senator Ronaldson memukul gong sebagai merasmikan pameran berkenaan.
Yang Berhormat Pehin dan Senator Ronaldson memukul gong sebagai merasmikan pameran berkenaan.
Yang berhormat Pehin dan Senator Ronaldson berkongsi keriangan dengan para veteran yang diraikan di pameran berkenaan.
Yang berhormat Pehin dan Senator Ronaldson berkongsi keriangan dengan para veteran yang diraikan di pameran berkenaan.

Terdahulu, TYT Todd Mercer dalam kata alu-aluannya menyatakan pameran itu merupakan hasil kerjasama di antara Suruhanjaya Tinggi Australia dan Universiti Brunei Darussalam, menggabungkan pameran koleksi gambar-gambar operasi pendaratan tentera Australia pada Jun 1945 dengan usaha pensyarah dan kumpulan pelajar UBD yang membuat temu bual dengan warga Brunei yang hidup semasa pemerintahan dan pembebasan Brunei daripada penjelajahan Jepun.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Jabatan Muzium-Muzium dalam sama-sama menjayakan pameran yang penuh bersejarah itu.

Majlis kemudian menyaksikan Senator Ronaldson dan Yang Berhormat Pehin Haji Hazair bersama-sama melancarkan Pameran Kisah-Kisah Dalam Kenangan: 70 tahun Persahabatan dan diikuti dengan pertukaran cenderahati.

Yang Berhormat Pehin kemudian menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada enam ahli kumpulan tentera veteran Australia yang turut hadir semasa pelancaran pameran berkenaan.

Seterusnya Senator Ronaldson dan Yang Berhormat Pehin berpeluang mendengar penerangan dan menyaksikan dengan lebih dekat gambar-gambar yang menceritakan detik-detik penting semasa operasi pendaratan di teluk Brunei dan pembebasan Brunei pada 1945.

Pameran yang diadakan adalah bersempena Ulang Tahun ke-70 Pendaratan Angkatan Australia di Borneo bagi membebaskan pulau berkenaan daripada jajahan Jepun semasa Perang Dunia ke-2, mempamerkan gambar-gambar dan cerita oleh orang-orang lama yang melalui zaman berkenaan.

Pameran itu merupakan hasil kerjasama Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam, UBD, James Cook University, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Jabatan Hal Ehwal Veteran Australia (DVA) dan Memorial Perang Australia yang mana pameran berkenaan dibuka bagi kunjungan orang ramai bermula 12 Jun hingga 30 Jun.

Pameran itu dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dari Sabtu hingga Khamis dan pada Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi serta dari pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

Manakala itu semasa bulan Ramadhan, pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang pada Sabtu hingga Khamis dan pada Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.