Mengingati Ayyamullah bukan bidaah

Mengingati Ayyamullah bukan bidaah

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Hari-hari atau peristiwa-peristiwa bersejarah adalah elok diingati, lebih-lebih lagi hari-hari kebesaran dalam agama kita adalah sangat-sangat disuruh untuk diingati.

Hari-hari begini dinamakan oleh Al-Qur’an sebagai “Ayyamullah” (Hari-hari Allah), tetapi sesetengah manusia hari ini tidak faham, ada pula yang menyuruh supaya jangan diingati dengan alasan perbuatan itu tidak ada dalam agama, kerana tidak pernah dibuat oleh Nabi.

Semua yang tidak pernah dibuat oleh Nabi, kata mereka, adalah bidaah dan semua bidaah membawa ke neraka.

Namun alasan semudah itu, menurut Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned adalah dilontarkan tanpa analisis.

Yang Berhormat Pehin berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Subuh Bersama Mufti di Masjid Kampung Kasat pagi tadi.

Mufti Kerajaan ketika menyampaikan Kuliah Subuh di Masjid Kampung Kasat.
Mufti Kerajaan ketika menyampaikan Kuliah Subuh di Masjid Kampung Kasat.

Dalam kuliah itu, Yang Berhormat Pehin turut mengingatkan supaya jangan cepat-cepat terpedaya, terpengaruh dan terpakai bila berjumpa atau mendengar pendapat-pendapat seperti ini walau dari pada siapa pun datangnya.

Sekarang, tambahnya dunia kita sudah dibanjiri oleh pelbagai aliran dan pendapat. Macam-macam ada yang boleh dibaca dan dengar dari dunia media dan sumber pun adalah pelbagai; daripada orang biasa, penulis, penceramah, ahli akademik termasuk juga mereka yang dianggap ulama.

Semua bercakap atau menulis, mengeluarkan pendapat dan teori masing-masing. Antara pendapat dan teori itu termasuk yang menolak dan mengecam perayaan hari-hari kebesaran Islam, seperti Maulidur Rasul dan Awal Tahun Hijrah, dengan alasan, ini semua bidaah, tidak pernah dibuat oleh Nabi dan para sahabat, dan tidak ada pada zaman mereka.

Alasan ini, menurut Yang Berhormat Pehin, dari dahulu sampai sekarang lumrah digunakan oleh golongan yang menamakan diri mereka pendukung hadis, mereka konon-kononnya menolak apa sahaja yang tidak ada dalam hadis yang tidak pernah dibuat oleh Nabi dalam hidup Baginda, semua itu menurut mereka bidaah dan bidaah menghumbankan orang ke neraka.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, ulama pewaris Nabi menghuraikan bidaah itu ada dua iaitu pertama dinamakan ia “BidaahHasanah” (perkara baru yang baik) dan kedua dinamakan ia “Bidaah Sayyi’ah” (perkara baru yang buruk).

Bidaah Hasanah, jelas Yang Berhormat Pehin, walaupun betul ia tidak pernah wujud atau berlaku di zaman Nabi, tetapi ia satu benda baik yang mendatangkan manfaat kepada manusia.

“Umpamanya perbuatan kita membina jambatan. Brunei sekarang sedang membina jambatan merentasi perairan Brunei, dari Daerah Brunei-Muara ke Daerah Temburong, pada kepanjangan sekitar 30 Km.

“Di zaman Nabi tidak pernah berlaku membina jambatan seperti ini. Jadi ia dikira bidaahlah. Tetapi bidaah bagus, malah menepati kategori Fardu Kifayah untuk memenuhi keperluan kita. Maka menurut ulama, bidaah seperti ini bukan mengiringi ke neraka tetapi menghasilkan pahala,” jelasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, banyak lagi contoh-contoh yang lain di dalam kategori Bidaah Hasanah ini seperti membangun sekolah, naik kapal terbang, penemuan tenaga elektrik dan penggunaan api elektrik termasuk menghasilkan kereta sedangkan di zaman Nabi cuma ada unta, kuda dan keldai sebagai kenderaan.

Ternyata kereta adalah benda baharu dan perbuatan naik dan memandu kereta adalah bidaah, kerana Nabi tidak pernah naik dan memandu kereta.

“Kalau semua bidaah dilarang, tentu naik kereta pun dilarang juga. Tetapi yang kita cukup tahu dengan pasti, orang yang melarang segala bentuk bidaah, dia sendiri juga naik dan memandu kereta. Mengapa tidak naik unta sahaja macam Nabi naik? Mengapa menyambut Maulidur Rasul dan menyambut Awal Tahun Hijrah sahaja yang diboikot, mengapa kereta dibeli dan dipandu, tidak diboikot?” soal Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menekankan, apabila benda-benda baharu berupa kemudahan yang memberikan kesenangan hidup, orang-orang tidak bising malah semuanya diterima pakai, tetapi mengenai Tahlil, menyambut Maulidur Rasul, menyambut Awal Tahun Hijrah, membaca doa akhir dan awal tahun, lantang orang berkata bidaah, dianjurkan supaya jangan dibuat dan salah kalau dibuat kerana ia adalah bidaah.

Mereka juga, katanya, tidak peduli pandangan ulama muktabar dan bagi mereka bidaah itu hanya satu. Selama ia bernama bidaah, tidak pernah dibuat oleh Nabi, maka ia adalah salah dan dilarang.

“Apa yang buruk di dalam tahlil?” soal Yang Berhormat Pehin.

Di dalam tahlil, katanya ada ayat Al-Qurannya, ada tasbih, ada selawat dan ada doa. Begitu juga dengan menyambut Awal Tahun Hijrah dengan acara-acara keagamaan, seperti membaca doa akhir dan awal tahun dan ceramah-ceramah agama. Demikian juga menyambut Maulidur Rasul, setidak-tidaknya kita akan teringat untuk berselawat.

“Apa ini tidak baikkah? Apa membaca ayat Al-Quran salahkah? Membaca tasbih, membaca selawat dan membaca doa salahkah? Apa sia-siakah orang membaca ayat Al-Quran, bertasbih, berselawat dan berdoa? Kalau tidak sia-sia mengapa mahu dilarang? Masih tidak fahamkah kita dengan keutamaan selawat itu?” soal Yang Berhormat Pehin.

Berhubung dengan selawat, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, sekali kita berselawat ke atas Nabi, malaikat pun berselawat ke atas kita (mendoakan kita).

Apabila malaikat berselawat ke atas kita, Allah pun berselawat pula kepada kita (mengurniakan rahmatNya kepada kita), dan barang siapa yang Allah berselawat ke atasnya, maka semua yang ada di tujuh petala langit dan di tujuh lapisan bumi dan di tujuh lautan dan semua pohon-pohon dan tanam-tanaman, burung, binatang-binatang buas dan binatang-binatang ternakan, seluruhnya itu adalah berselawat ke atas kita (mendoakan kita).

“Inilah kehebatan selawat itu. Setiap orang yang terlibat menyambut Maulidur Rasul pasti, tidak dapat tidak, bibirnya dan hatinya akan turut mengucapkan selawat itu. Jadi mengapa orang tidak mahu menyambutnya? Mengapa orang tidak mahu memperingatinya? Tidakkah memperingati peristiwa-peristiwa besar itu bagus, banyak manfaatnya?” tegas Yang Berhormat Pehin.

Ujar Yang Berhormat Pehin lagi, ini bukan dalam ilmu manusia saja begitu, tetapi dalam ilmu Allah juga, kita sudah lama diperingatkan supaya terus memperingati peristiwa-peristiwa penting yang terjadi dalam kalangan manusia, khasnya di kalangan kaum-kaum terdahulu.

Yang Berhormat Pehin menambah, antara peristiwa-peristiwa besar dan penting itu ialah tarikh kelahiran Nabi kita, tarikh Awal Hijrah, tarikh peristiwa Israk Mikraj, tarikh Nuzul Al-Quran dan lain-lain.

Peristiwa-peristiwa besar seperti ini, jelasnya diberi jolokkan oleh Allah sebagai ‘Ayyamullah’ (Hari-hari Allah) dan hari-hari itu disuruhNya diperingati. Allah tidak menyuruh melupakannya atau menyuruh tidak payah dipeduli.

“Yang dimaksud dengan ‘Ayyamullah’ itu di sini ialah peristiwa-peristiwa besar yang mengandung hikmah, sama ada hikmah itu berupa nikmat-nikmat Allah dalam bentuk pertolonganNya atau bala bencana untuk menghukum umat-umat yang derhaka. Semuanya ini disuruh oleh Allah supaya diperingatkan atau diingati bagi tujuan-tujuan pengajaran,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Pehin mengajak kita supaya sama-sama memperingati hari-hari Allah. Katanya, kita sambut dan hayati semua ini dengan acara-acara berkebajikan, dengan ceramah-ceramah, dengan tazkirah, dengan membaca kisah-kisah berkenaan dan lain-lain.

Semua itu, tegasnya, boleh mendatangkan infak kesedaran dan keimanan kepada kita. Walaupun ia dianggap bidaah, tetapi bidaahhasanah (bidaah yang baik) yang menjanjikan pahala kepda sesiapa yang melakukannya.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, ulama muktabar tidak menolak bidaah hasanah. Kita adalah pengikut ulama muktabar, kerana mereka itu lebih mendalam ilmunya, lebih luas mindanya, lebih halus, lebih bijaksana membuat penilaian dan pentafsiran.

“Lebih amanah dan lebih adil, lebih kuat iman dan takwanya, lebih cenderung dan lebih terikatnya kepada akhirat, lebih banyak dan lebih khusyuk ibadahnya, lebih banyak zikir dan doanya, lebih bersih hati dan lebih berhemah kata-katanya. Lebih Ikhlas dan lebih salih segala amalannya. Itulah ulama muktabar yang tidak menolak bidaah hasanah dan mereka Insya Allah berada dalam kebenaran.”