Mengintai membawa padah

Mengintai membawa padah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Seorang lelaki tempatan disabit bersalah atas pertuduhan mengintai seorang pelajar perempuan di kamar mandi, dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Meskipun dalam perbicaraan terdahulu, Azmi bin Abdul Rahman memberitahu mahkamah, dia terdengar bunyi curahan air di kamar mandi mangsa, lalu keluar ke bumbung teres rumah melalui tingkap kediaman bapa saudaranya menuju ke tingkap kamar mandi mangsa, namun Timbalan Pendakwa Raya, Nurjauinah binti Haji Kula berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh sebagai melampaui keraguan munasabah mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya dapat membuktikan bahawa tertuduh telah memerhatikan mangsa ketika dia mandi untuk tujuan mendapatkan kepuasan seksual tanpa disedari oleh mangsa.

Mangsa ialah antara empat orang pelajar perempuan yang menyewa di rumah teres berhampiran dengan institusi mereka belajar manakala tertuduh tinggal bersama keluarganya tetapi sering mengunjungi kediaman bapa saudaranya yang terletak selang satu unit dengan tempat sewa mangsa.

mahkamah

Kertas pertuduhan menyebut, sekitar jam 9 pagi pada 21 April 2015, mangsa yang sudah terlewat terus bergegas untuk mandi dan ketika mencuci rambutnya, dia merasakan seseorang sedang memerhatikannya.

Mangsa kemudian melihat ke arah tingkap kamar mandi dan terlihat seorang lelaki sedang memerhatikannya dari luar.

Mangsa terus mengambil penyapu yang terletak di sudut kamar mandi untuk mencucuk lelaki itu, namun lelaki itu sudah pergi, dan kemudian mangsa menghubungi rakan serumahnya yang terdahulu sudah pergi ke kelas masing-masing.

Rakan mangsa menghubungi polis dan siasatan membawa kepada tangkapan tertuduh.

Ketika membuat pengecaman, mangsa terus mengenali tertuduh.

Tertuduh, sebelum kejadian, cuba untuk menarik perhatian mangsa, tetapi tidak diendahkan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang membawa kepada hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh kini ditahan reman di Penjara Jerudong selepas Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membatalkan ikat jaminnya, dan menetapkan 26 Oktober untuk menjatuhkan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA