Menglait FC belasah Mengellela FT 5-0

Menglait FC belasah Mengellela FT 5-0

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Kelab Liga Perdana DST 2015, Menglait FC menghentikan perjalanan Kelab Non-Liga, Mengellela FT pada pusingan kedua Piala FA DST 2015 apabila membelasahnya 5-0 malam tadi.

Sudah selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, Mohd Azim bin Hamidon menambah dua gol lagi pada separuh masa kedua yang disirami hujan lebat sehingga bola sering tersekat-sekat di atas padang yang ditakungi air.

Jaringan pembuka tirai Menglait FC pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menjelma pada minit ke-20 menerusi sepakan penalti Pengiran Mohd Sallehudin bin Pengiran Sarifudin.

Sepuluh minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 apabila Awangku Mohd Hilman bin Pengiran Umar menemui sasarannya di gawang Mengellela FT sebelum Mohd Nazirul Azim bin Haji Anuar menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-36.

Para pemain Menglait FC meraikan jaringan keempat mereka yang dijaringkan oleh Mohd Azim (dua dari kanan) dalam kemenangan 5-0 Piala FA DST 2015 ke atas Mengellela FT.
Para pemain Menglait FC meraikan jaringan keempat mereka yang dijaringkan oleh Mohd Azim (dua dari kanan) dalam kemenangan 5-0 Piala FA DST 2015 ke atas Mengellela FT.

Serangan balas pantas pada minit ke-66 menyaksikan Mohd Azim yang hanya berdepan penjaga gol Mengellela FT dengan tenangnya menendang masuk bola ke gawang sebelah kiri untuk gol keempat Menglait FC.

Tiga minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Mohd Azim menyumbatkan gol kedua peribadinya untuk menambah derita Mengellela FT sekali gus memuktamadkan kemenangan 5-0 untuk membawa Menglait FC ke pusingan ketiga kejohanan menentang salah sebuah Kelab Liga Super DST 2015 pada November nanti.