Menglait FC kejutkan Tabuan 3-2

Menglait FC kejutkan Tabuan 3-2

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Menglait FC membuka tirai kempennya musim ini dalam Liga Perdana Brunei DST dengan mengejutkan Tabuan U-17 menerusi kemenangan 3-2.

Aksi Liga Perdana Brunei DST 2016 di Kompleks Sukan Berakas (KSB) itu menyaksikan Menglait FC selesa mendahului 3-0 sebelum kebangkitan lewat Tabuan U-17 menyaksikannya berjaya menjaringkan dua gol.

Menglait FC mengucapkan terima kasih di atas kesilapan pertahanan Tabuan U-17 pada minit ke-22 hantaran ke bawah pemainnya berjaya dipintas Awangku Mohd Nurhidayat bin Pengiran Haji Abbas dan walaupun cuba dikejar pertahanan lawan, beliau tenang memilih sasarannya ke kanan gawang melepasi jangkauan penjaga gol.

Ternyata jaringannya itu menjadi gol tunggal separuh masa pertama, namun pada separuh masa kedua, Tabuan U-17 sekali lagi dikejutkan dalam tempoh hanya tujuh minit apabila Pengiran Mohd Sallehuddin bin Pengiran Sarifuddin berjaya meledakkan dua gol.

Jaringan pertama peribadinya terhasil pada minit ke-60 manakala gol kedua peribadinya hadir pada minit ke-66 untuk memberikan Menglait FC pendahuluan 3-0.

Tabuan U-17 cuba bangkit selepas itu, lebih-lebih lagi Menglait FC mula dilihat lebih selesa bertahan yang ternyata mengundang padah apabila pemain-pemain muda negara mula berjaya mengekspoitasi ruang sehingga berjaya membolosi benteng pertahanan lawan.

Mohd Nurasyraffahmi bin Nor Samri memberikan gol pertama Tabuan U-17 pada minit ke-70 untuk merubah kedudukan menjadi 1-3 dan 16 minit kemudian kedudukan menjadi 2-3 apabila giliran Mohd Hanif Aiman bin Haji Adanan pula berjaya membolosi gawang Menglait FC.

Tempoh empat minit terakhir perlawanan serta masa tambahan berikutnya menjadikan perlawanan berlangsung sengit dengan Tabuan U-17 berusaha mendapatkan gol penyamaan, sementara Menglait FC berusaha keras untuk bertahan.

Ternyata Menglait FC berjaya keluar dari perlawanan sengit itu sebagai pemenang, sekali gus mengutip tiga mata berharga sebagai bekalan mengharungi Liga Perdana Brunei DST 2016 yang baru saja bermula pada minggu pertama berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA