Menglait FC tewaskan BSRC FT 5-2

Menglait FC tewaskan BSRC FT 5-2

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Walaupun ketinggalan 0-2 pada satu ketika, Menglait FC bangkit membolosi gawang BSRC FT lima kali untuk keluar sebagai pemenang dengan jaringan 5-2.

Aksi Liga Perdana Brunei DST itu menyaksikan BSRC FT mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Nur Hazwan pada minit ke-26 dan kemudiannya Mohd Hilme pada minit ke-35.

Menglait FC mendapat gol pertamanya pada minit ke-39 untuk membawa kedudukan 1-2 sehingga rehat.

Sejurus separuh masa kedua bermula, Menglait FC sudah mendapat gol penyamaannya seminit selepas sepak mula menerusi jaringan Haji Mohd Faiz dan empat minit kemudian menjadi giliran Menglait FC mengemudi perlawanan hasil ledakan gol Mohd Hidayattullah.

Menglait FC menambah pendahuluannya kepada dua gol iaitu 4-2 pada minit ke-75 menerusi jaringan Awangku Mohd Nurhidayat.

Menglait FC menang besar 5-2 ke atas BSRC FT dalam aksi Liga Perdana Brunei DST 2016.
Menglait FC menang besar 5-2 ke atas BSRC FT dalam aksi Liga Perdana Brunei DST 2016.

Pada ketika perlawanan dijangka berakhir pada kedudukan 4-2, Mohd Hidayattullah masih sempat menjaringkan gol kedua peribadinya pada masa kecederaan, minit ke-90+3 sekali gus memuktamadkan kemenangan 5-2 Menglait FC ke atas BSRC FT.

Dalam satu lagi perlawanan Liga Perdana Brunei DST 2016, IKLS FC mencatat kemenangan 3-2 ke atas BESA FC.

Awangku Mohd Abdul Halim bin Pengiran Haji Hassan membawa IKLS FC di depan 1-0 pada minit ke-6, namun pasukan lawan menyamakan kedudukan melalui Mohd Alinur Rashimy Haji Jufri pada minit ke-16.

Selang tiga minit kemudian, Awangku Mohd Abdul Halim mengembalikan pendahuluan satu gol IKLS FC menerusi sepakan penalti dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga rehat.

Mohd Alif Haji Sahari menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-74, namun selang lima minit kemudian Mohd Hairolazrine Haji Abdullah merubah kedudukan menjadi 3-2 untuk menjadikan pertembungan itu semakin menarik.

Kemenangan 5-2 ke atas BSRC FT membolehkan Menglait FC melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Brunei DST 2016 dengan enam mata, 10 jaringan dan tujuh bolos dari tiga permainan, memintas Al-Idrus Junior FT yang memungut enam mata, enam jaringan dan empat bolos dari dua perlawanan.

IKLS FC pula naik ke tangga ketujuh dengan tiga mata, tiga jaringan dan enam bolos selepas dua kali bermain, masih di bawah pasukan yang ditewaskannya, BESA FC yang mengumpul tiga mata, empat jaringan dan empat bolos dari dua permainan.

Liga berkenaan kekal diterajui Tabuan U-17 yang mengumpul enam mata, lapan jaringan dan empat bolos selepas melalui tiga perlawanan setakat ini.

ARTIKEL YANG SAMA