Mengundang risiko

Mengundang risiko

WASHINGTON, 3 April (Bernama) – Perdagangan sistem barter antara Sabah dan Selatan Filipina perlu dikaji semula dengan segera berikutan kes penculikan empat warga Malaysia pada Jumaat lepas di kawasan perairan Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata perdagangan sistem barter itu juga dilihat hanya menguntungkan satu pihak sahaja dan tidak menguntungkan Malaysia.

Selain itu, ia turut melibatkan penyeludupan barang-barang subsidi negara dan menyebabkan ketirisan wang negara, katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu lalu.

“Saya tidak berhasrat (mengulas) mengenai dasar, tetapi dari segi operasi kita harus melihat bahawa perdagangan sistem barter itu menguntungkan sebelah pihak,” katanya.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja selama seminggu sejak 29 Mac lepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear selama dua hari yang berakhir Jumaat.

Beliau berkata untuk itu, agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengkaji semula sistem perdagangan barter yang beroperasi melalui beberapa pelabuhan kecil di Sabah dengan Selatan Filipina.

“Kini tiba masanya untuk beberapa agensi dan jabatan di bawah kementerian yang terlibat dalam urusan perdagangan barter mengkaji dengan segera supaya perkara ini dapat dielakkan daripada memberi untung di satu pihak saja,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata memandangkan laluan tersebut mempunyai risiko yang amat tinggi, pedagang Malaysia yang melalui laluan itu dinasihatkan untuk memaklumkan kepada polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya dapat mengawal keselamatan mereka.

“Oleh kerana mereka terdiri daripada pedagang barangan ke Filipina, mereka tahu terdapat risiko apabila melalui beberapa kawasan tertentu yang telah dizonkan sebagai kawasan berbahaya.

“Sepatutnya mereka memberitahu pasukan keselamatan khususnya untuk polis marin mengadakan kawalan ketika mereka memasuki perairan negara lain,” katanya.

Menyentuh mengenai penculikan empat warga Malaysia yang merupakan anak kapal tunda berdaftar di Malaysia – MV MASSIVE 6, Ahmad Zahid berkata setakat ini tiada maklumat mengenai status mereka, dan percaya mereka diculik untuk dijadikan tebusan bagi memperolehi faedah kewangan.

Beliau berkata penculik itu berusaha mendapatkan tebusan untuk mencari wang yang akan dijadikan sumber untuk mereka bergerak sebagai pengganas dan keadaan ini amat membimbangkan.

“Ini berdasarkan daripada 10 orang yang berada dalam bot tersebut, warga Myanmar dan Indonesia dilepaskan manakala rakyat Malaysia ditahan. Ini memperlihatkan tujuan mereka adalah untuk memperoleh sumbangan daripada tebusan yang ditahan.

“Siasatan peringkat awal mendapati mereka disyaki berasal dari Filipina dan beragama Islam, dan ini merosakkan imej Islam sendiri dan seharusnya dielakkan.

“Saya dapat maklumat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah bahawa beberapa usaha sedang dilakukan secara operasional untuk memastikan supaya mereka selamat kembali,” katanya dan menambah jumlah wang tebusan masih belum diterima.

Beliau berkata berdasarkan modus operandi yang lazimnya pernah dilalui oleh agensi keselamatan negara, penculik akan menjual mangsa mereka kepada kumpulan lain yang kemudiannya akan menjual kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi dan tawaran lebih lumayan.

“Kita memahami modus operandi ini dan kita harap ianya tidak berlaku begitu. Yang penting soal keselamatan rakyat kita di tempat tahanan itu,” katanya.

Empat orang warga Malaysia yang kesemuanya berasal dari Sarawak itu dikenal pasti sebagai Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Ahmad Zahid turut berharap agar kesemua mereka dibebaskan secepat mungkin dan meminta supaya anggota keluarga mangsa bersabar kerana pihak keselamatan khususnya polis berusaha sedaya-upaya menyelamatkan mereka.

Beliau juga berharap supaya orang ramai tidak memberikan sebarang komen atau pendapat mengenai perkara tersebut.

“Serahkan kepada pihak polis untuk mencari jalan supaya mereka dapat dilepaskan daripada tahanan,” tambahnya lagi.