Mengunjungi Istana Nurul Iman, satu pengalaman indah

Mengunjungi Istana Nurul Iman, satu pengalaman indah

Oleh Yusrin Junaidi, Imelda Grove H.A dan Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Awal pagi lagi, kawasan perkarangan Istana Nurul Iman sudah dibanjiri orang ramai termasuk rakyat negara jiran dan juga para pelancong dari luar negara pada hari kedua istana dibuka bagi majlis junjung ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Majlis junjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain merupakan peluang keemasan bagi orang ramai untuk menatap wajah secara lebih dekat seorang raja yang sangat dikasihi.

Mengunjungi Istana Nurul Iman untuk junjung ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri merupakan pengalaman luar biasa dan menyeronokkan, ujar Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas ketika ditemui Media Permata.

“Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana pada tahun ini berkesempatan bersama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri, dan juga kami Perseku-tuan Pengakap Negara Brunei Darussalam juga amat gembira kerana berpeluang dapat sama-sama melihat suasana Hari Raya di Istana Nurul Iman,” katanya sambil berharap akan diberikan kesempatan sekali lagi pada tahun hadapan.

Awang Adi Nurazlee.
Awang Adi Nurazlee.

Sementara itu, seorang alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Awang Adi Nulazree bin Awang Rosli, ketika ditemui berkata, berhari raya ke Istana Nurul Iman memang dinantikan kerana ia merupakan peluang setahun sekali untuk junjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Saya merasa amat terharu kerana dapat bersalaman dengan seorang raja yang kasihkan rakyat. Tahun ini suasana Hari Raya di istana amat meriah, berbeza dengan tahun lalu kerana kami dapat bertemu dengan berbagai-bagai bangsa dari beberapa negara jiran yang lain,” jelas Awang Adi.

Beliau juga berharap dapat mengun-jungi istana sekali lagi pada Hari Raya tahun depan kerana sangat seronok dapat menikmati makanan dan minuman istimewa yang dihidangkan.

Datuk Seri Panglima Dr Haji Ghulam Mohd.
Datuk Seri Panglima Dr Haji Ghulam Mohd.

Sementara itu, Datuk Seri Panglima Dr Haji Ghulam Mohd bin Sayeed, dari Sabah berkata, buat pertama kali dan atas permintaan cucunya, beliau merasa bersyukur kerana dapat bersalaman dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain di Hari Raya Aidilfiri ini.

“Saya merasa terharu kerana dapat bersalaman dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan dalam masa yang sama saya juga gembira dapat bersua muka dengan raja yang cintakan rakyatnya,” ujar Datuk Seri Dr Haji Ghulam.

Seorang pesara dari Kuala Belait, Lau Cheok Fun, 65 tahun, pula berkata, kunjungan ke Istana Nurul Iman di Hari Raya adalah buat pertama kali, dan beliau merasa teruja melihat keindahan istana yang sungguh meriah menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama rakyat negara ini.

“Dari sini saya melihat betapa cinta Baginda Sultan kepada rakyatnya, membuka pintu di acara rumah terbuka di Istana Nurul Iman. Perkara ini belum saya pernah lihat di luar negara dan tradisi ini hanya ada di Negara Brunei Darussalam.”

Hajah Niguat Afza Rana, seorang jururawat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), berasal dari Pakistan, tidak mahu melepaskan peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan berkunjung ke Istana Nurul Iman.

Semasa ditemui Hajah Niguat Afza Rana, bersama empat orang anak perempuannya Malaikah, 15, Anshrah, 14, Aroob, 13, dan Zokhruf 9, berkunjung ke Istana Nurul Iman dengan pakaian khas yang ditempah dari negara asalnya. Ia merupakan pakaian tradisi negara itu yang dipakai pada majlis-majlis istimewa, dinamakan Shalwar Qamees, yang dibeli dengan harga yang mahal dihiasi dengan manik-manik buatan tangan.

Jason Pickett (kiri) bersama anaknya Micel Pickett, dan rakannya Nick Shain menempah baju Melayu hanya kerana berhasrat bersama-sama pengunjung lain ke Istana Nurul Iman sempena sambutan Hari Raya Aidil fitri di negara ini.
Jason Pickett (kiri) bersama anaknya Micel Pickett, dan rakannya Nick Shain menempah baju Melayu hanya kerana berhasrat bersama-sama pengunjung lain ke Istana Nurul Iman sempena sambutan Hari Raya Aidil fitri di negara ini.

Sementara itu bagi Jason Pickett, 39, bersama anak lelakinya Micel Pickett, 9, serta kawannya Nick Shain, 19, ini merupakan pengalaman pertama berkunjung ke Istana Nurul Iman, dan merasakannya sebagai pengalaman yang paling indah, lebih-lebih lagi turut berpeluang mena-tap wajah kerabat diraja negara ini, serta melihat budaya dan tradisi sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini.

Nick yang baru berada di negara ini selama enam bulan, berharap akan berpeluang lagi berkunjung ke Istana Nurul Iman di tahun hadapan. Begitu juga dengan Mr Jason Pickett dan isteri serta anaknya, berasal dari Australia dan berada di negara ini untuk menjalankan pernia-gaan basikal lasak di Kompleks Madang.

Tidak ketinggalan juga bagi tiga orang warga yang masing-masing dari Libya dan Colombia, Javier Torres, Addul Salam dan isterinya Sara Bawi, menganggap kunjungan mereka ke Istana Nurul Iman hari ini, adalah yang paling bermakna, kerana sebelum ini mereka belum ada kesempatan lain untuk masuk dan berkunjung ke dalam sebuah Istana di negara lain, apatah lagi untuk bersemuka dengan kerabat diraja.

“Kami amat bersyukur, kerana sempat bersua Baginda Sultan, yang kami dengar merupakan seorang raja yang sayang kepada rakyatnya, dan hari ini, kami menyaksikan, bahawa rakyat di negara ini amat beruntung kerana mempunyai raja yang pengasih dan prihatin terhadap rakyatnya” kata Addul Salam yang juga berharap mempunyai peluang lagi berkunjung di tahun hadapan, kerana dia akan berada di negara ini selama dua tahun untuk bekerja di sebuah syarikat tempatan sebagai arkitek.

Manakala bagi isterinya, Sara Bawi, dia sangat terpegun melihat wajah Baginda Raja Isteri, yang sebelum ini dia hanya sempat melihat di dalam gambar dan televisyen sahaja. Beliau berasa amat bertuah kerana Baginda Raja Isteri, sempat menyapanya, dengan bertanya dia berasal dari mana, selain dia turut memuji layanan kepada pengunjung ke istana, barisan mengambil makanan yang amat teratur dan berdisiplin, makanan yang enak dan sebagainya selain katanya berpeluang menyaksikan keindahan Istana Nurul Iman.

Sementara itu di ruang makan, Media Permata sempat menemui salah seorang pekerja sambilan D Hayatt, Dayang Nashanila yang merasa amat bersyukur kerana telah terpilih bekerja sambilan istana terbuka di Hari Raya sejak tahun 2012. Menurutnya untuk mendapatkan kerja tersebut semua pemohon akan menghadapi temu duga dan jika bernasib baik akan terpilih bekerja.

“Saya mendapati pengalaman yang amat berguna, bekerja sambilan semasa Istana terbuka di Hari Raya, selain saya berpeluang mengenali berbagai golongan masyarakat, berbagai bangsa setiap tahun yang berbeza” katanya sambil menjawab sambil begitu sibuk melayan para pengunjung yang memerlukan hidangan kek dan biskut.

Manakala Michelle Atkinson, merupakan salah seorang daripada seramai tiga puluh orang rombongan Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd yang turut tidak ketinggalan berkunjung ke Istana Nurul Iman hari ini, selain Michelle juga turut membawa bersama ahli keluarganya.

Biarpun menurutnya, itu bukan pengalaman pertama berkunjung ke istana, kerana sebelum ini dia juga pernah berkunjung ke istana di United Kingdom, tetapi menurutnya dia amat seronok kerana kunjungannya kali ini, dia berpeluang melihat tradisi orang Melayu Islam menyambut Hari Raya dengan pakaian yang indah-indah dan masyarakat di negara ini amat peramah.

Dayangku Qalila binti Pengiran Mohd Omar, pula, membawa bersamanya beberapa orang kenalan yang datang dari luar negara untuk berkunjung ke Istana Nurul Iman sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, kerana dia mahu rakan-rakannya itu mengenali negara ini, mengenali budaya dan keindahan Istana Nurul Iman dan juga mahu mereka merasakan pengalaman mengadap dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta anakanda dan cucunda Baginda.

ARTIKEL YANG SAMA