Menikmati kem...

Menikmati kemeriahan Pasar Malam Shilin

Oleh Yusrin Junaidi

 

TAIWAN – Selain bangunan tertinggi di Taiwan, Taipei 101 dan Chiang Kai-Shek Memorial Hall Park, Pasar Malam Shilin di Taipei adalah antara salah satu destinasi tarikan pelancongan yang sangat disyorkan untuk dilawat oleh warga Taiwan kepada para pelancong.

Pasar Malam Shilin bermula dari jam 4 petang hingga pukul 2 pagi yang menawarkan pelbagai barangan terdiri daripada makanan, pakaian, elektronik dan banyak lagi.

Untuk mengunjungi Pasar Malam Shilin, pelancong dinasihatkan untuk menaiki Taipei Metro (Mass Rapid Transportation) ke Stesen Jiantan dan jarak Pasar Malam Shilin dari stesen tersebut hanya sekitar 400 meter.

Lokasi pasar malam berkenaan terletak di antara Jalan Dadong, Danan, Wenlin dan Jihe.

Apa yang menarik mengenai Pasar Malam Shilin adalah ia jelas sangat berbeza berbanding dengan pasar-pasar malam seperti di Bangkok, Malaysia dan Brunei. Pasar Malam Shilin memiliki lebih daripada 300 buah kedai yang menjual pelbagai jenis barangan bermula dari baju, makanan sehingga ke barangan elektronik.

Keunikan permainan menangkap udang yang dapat disaksikan di Pasar Malam Shilin.
Keunikan permainan menangkap udang yang dapat disaksikan di Pasar Malam Shilin.
Pasar Malam Shilin menjadi tumpuan utama kepada para pelancong dari pelbagai negara.
Pasar Malam Shilin menjadi tumpuan utama kepada para pelancong dari pelbagai negara.

Wartawan Media Permata yang baru-baru ini berpeluang untuk melawat pasar malam berkenaan jelas berasa sangat terkejut dan kagum apabila turut menemui panggung wayang di kawasan berkenaan.

Bagi pengunjung yang beragama Islam, adalah dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika memilih makanan yang mana kebanyakannya dikategorikan sebagai makanan tidak halal.

Namun usah gusar kerana terdapat sebuah kawasan di kawasan pasar malam berkenaan yang menjual makanan halal seperti ayam salai, tempura dan omelet kerang.

Selain lauk pauk, ada juga pedagang yang menjual makanan ringan seperti martabak dari pisang, martabak Shallot dan banyak lagi.

Walaupun tidak begitu banyak kedai yang menjual makanan halal, Pasar Malam Shilin juga terkenal kerana menawarkan pelbagai jenis pakaian pada kadar harga yang mampu milik. Pakaian wanita dengan kualiti yang sangat baik dijual dengan harga NT$200 iaitu bersamaan dengan B$9.00.

Antara barisan kedai di Pasar Malam Shilin yang menawarkan pelbagai jenis makanan.
Antara barisan kedai di Pasar Malam Shilin yang menawarkan pelbagai jenis makanan.

Para pelancong yang ingin membeli baju sebagai cenderahati juga banyak ditawarkan di seluruh kawasan pasar malam yang dijual pada harga NT $170 iaitu sekitar B$7.00.

Di samping itu, para pengunjung yang arif dalam menggunakan teknik tawar menawar juga boleh mendapatkan baju-T “I Love Taiwan” pada harga yang lebih murah jika pelanggan membelinya lebih daripada dua pasang.

Menurut salah seorang warga tempatan Taiwan, Ian Huang menjelaskan kepada Media Permata bahawa Pasar Malam Shilin bukanlah satu-satunya pasar malam yang ada di Taipei malah terdapat lagi sebuah pasar malam yang dikenali sebagai Pasar Malam Nanya yang terletak berdekatan dengan Stesen Fuzhong Taipei Metro.

Namun Pasar Malam berkenaan kurang mendapat sambutan daripada kalangan pelancong sekali gus menjadikan Pasar Malam Shilin sebagai pasar malam tumpuan kepada para pelancong di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA