Meninggal dunia ketika hadiri kursus

Meninggal dunia ketika hadiri kursus

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 1 Mac – Seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun meninggal dunia, disyaki akibat serangan jantung, semasa menghadiri kursus di sebuah syarikat swasta di sini, hari ini.

Seorang jurucakap syarikat yang tidak mahu dikenali memberitahu Media Permata bahawa si mati sedang berehat selepas menamatkan sesi latihan apabila kejadian itu berlaku.

Jurucakap itu menambah, kakitangan syarikat itu sendiri segera melakukan CPR selama 20 minit sehingga ambulans tiba dan paramedik mengambil alih dalam usaha untuk memulihkan semula lelaki tersebut.

Lelaki yang dipercayai masih hidup di premis syarikat ketika insiden tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Suri Seri Begawan di Kuala Belait di mana Media Permata telah dimaklumkan bahawa lelaki itu meninggal dunia.

Menurutnya lagi, sebelum kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi, si mati tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda tekanan atau kesukaran semasa dalam latihan.

“Peserta kursus ini telah mengambil bahagian dalam sesi latihan dan menurut peserta lain mereka semua sedang berehat, bercakap-cakap sambil berjenaka sesama sendiri,” ujarnya itu.

Semasa kejadian itu juga, beberapa orang pegawai Polis Diraja Brunei cawangan Balai Polis Kuala Belait telah dihantar ke premis syarikat itu untuk mengambil maklumat selepas menerima laporan sekitar jam 12:55 tengah hari tadi, tetapi kini kes tersebut masih lagi dalam siasatan dan tidak ada unsur jenayah dilaporkan.

ARTIKEL YANG SAMA