Meninggal ketika keluar memancing

Meninggal ketika keluar memancing

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Ogos – Seorang lelaki penduduk tetap berusia 54 tahun dilaporkan meninggal dunia di kawasan Ujong Batu Los Tanjong ketika keluar memancing bersama rakannya, awal pagi tadi, di sini.

Menurut ibu mangsa, 87, ketika ditemui, anaknya itu telah keluar bersama rakannya dan lazimnya dia akan pulang ke rumah sekitar jam 7 hingga 8 pagi, bagaimanapun amat terkejut apabila menerima khabar berita selepas dikatakan dia telah meninggal dunia.

Mangsa, seorang pekerja teknikal, di salah sebuah syarikat swasta di sini, masih bujang, dikatakan telah memberitahu kawannya yang dia terasa sakit di bahagian tengkuk sebelum kematiannya, yang dikatakan pada kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Ibu mangsa yang sedih atas tragedi yang menimpa anaknya itu, turut terkilan dengan penyebaran melalui media sosial gambar anaknya yang terbaring di atas batu di kawasan tepi pantai tempatnya memancing, dengan pelbagai persepsi kejadian.

Mangsa, yang meninggal dunia di kawasan Ujong Batu Los Tanjong, semasa keluar bersama kawannya memancing.
Mangsa, yang meninggal dunia di kawasan Ujong Batu Los Tanjong, semasa keluar bersama kawannya memancing.

Sehubungan itu, keluarga mangsa mahu berita kematian anaknya itu disiarkan ke dalam akhbar supaya cerita sebenarnya dapat dinyatakan, dan meminta kerjasama semua pihak supaya menghentikan penyebaran gambar anaknya yang sudah tiada itu.

Ibunya juga berkata, sepanjang pengetahuannya, mangsa tidak menghidap sebarang penyakit dan menganggap kematiannya sebagai takdir.

Punca sebenar kematian masih dalam siasatan pihak polis.

ARTIKEL YANG SAMA