Meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya

Meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) terus melaksanakan dan memperkenalkan program meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya kepada semua pengguna jalan raya untuk memastikan mesej kesedaran keselamatan jalan raya sampai kepada rakyat dan penduduk negara ini termasuk pekerja asing yang berada di Brunei.

Dalam hubungan itu, JPD melaksanakan program terbaru iaitu Program Pendekatan (Outreach) Kesedaran Keselamatan Jalan Raya : Bersama Pekerja Luar di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, malam tadi.

Program tersebut dikendalikan oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi selaku Pengerusi Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor, Haji Mohammad Syafien bin Yandol/Abdullah, ketua-ketua bahagian dan pegawai-pegawai kanan JPD.

Lebih 200 pekerja syarikat pengangkutan yang menghadirinya berpeluang mendengar taklimat kesedaran keselamatan jalan raya dan berinteraksi dengan Dr. Haji Supry.

Dr. Haji Supry ketika berinteraksi dengan para peserta program berkenaan.
Dr. Haji Supry ketika berinteraksi dengan para peserta program berkenaan.
Antara pekerja asing yang menghadiri program pendekatan kesedaran keselamatan jalan raya itu.
Antara pekerja asing yang menghadiri program pendekatan kesedaran keselamatan jalan raya itu.

Dr. Haji Supry dalam temu bual bersama Media Permata berkata, program tersebut merupakan satu lagi inisiatif untuk mendekatkan pihaknya kepada salah satu kumpulan sasaran bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, sering kali pekerja luar tidak berpeluang untuk membaca surat khabar kerana sibuk bekerja dan dengan mengadakan program itu, ia memberikan peluang kepada pihaknya untuk bertemu dan menyampaikan mesej berkenaan kepada mereka secara langsung.

Katanya, program itu diadakan buat kali pertama di Daerah Brunei Muara dan dihasratkan untuk dilanjutkan kepada daerah-daerah lain dalam masa yang terdekat dengan cadangan untuk mengadakan program itu di Daerah Belait pada minggu hadapan tertakluk kepada persediaan yang dilakukan.

Dr. Haji Supry berkata, program kesedaran keselamatan itu juga mengambil pendekatan yang baru di mana ia tidak hanya merupakan sesi taklimat sahaja tetapi juga merupakan sesi interaktif yang menggalakkan penyertaan dari peserta program bagi meningkatkan lagi keberkesanan program kesedaran keselamatan itu.

Mengulas mengenai pesanan yang disampaikan kepada para peserta program, Dr. Haji Supry berkata terdapat tiga pesanan utama yang disampaikan dan diharap akan diterapkan oleh setiap yang hadir iaitu untuk memandu kereta yang selamat dan berkelayakan, untuk tidak memandu dengan laju, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, berbasikal atau berjalan kaki merentas jalan raya dan untuk memakai tali pinggang keselamatan semasa memandu serta untuk berbasikal dan berjalan di tepi jalan raya dengan selamat dan berhati-hati.

Beliau juga menekankan bahawa mereka harus menampakkan diri mereka kepada kenderaan yang lain terutama di waktu malam dengan menggunakan pakaian yang cerah dan lebih baik lagi memakai lampu penanda ketika berjalan di tepi jalan.

Kata Dr. Haji Supry, mesej yang ingin diketengahkan ialah “Hadiah Terbaik Untuk Keluarga Awda Adalah Apabila Awda Sampai ke Rumah Dengan Selamat.”