Menipu: Tertuduh diheret ke penjara

Menipu: Tertuduh diheret ke penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161116_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Seorang lelaki tempatan dijatuhi 14 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menipu.

Mohammad Hafiz Syafiq bin Mohd Amir, 24, mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan menipu tujuh individu dengan berpura-pura berminat untuk menyewa kereta mereka pada harga $30 hingga $120 sehari.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid turut memerintahkan tertuduh untuk membayar ganti rugi $2,950 dan jika gagal akan berdepan tambahan tiga bulan penjara.

Tertuduh mendapatkan kereta-kereta untuk disewa itu melalui laman sosial Facebook dan turut mengiklankan di laman Brudirect bahawa dirinya sedang mencari kereta untuk disewa.

Tertuduh membayar wang sewa sebaik mendapatkan kereta itu, dan berjanji kepada pemiliknya untuk mengembalikan kereta tersebut selepas tamat tempoh menyewa.

Tertuduh bagaimanapun telah menjual kereta-kereta itu kepada orang lain dan menggunakan hasil jualan itu untuk kegunaan sendiri dan juga untuk meneruskan penipuan sewa kereta untuk tujuan yang sama.

Ketika disoal siasat polis, tertuduh mendedahkan identiti pembeli kereta-kereta tersebut yang kemudian membawa kepada penemuan semula kereta terbabit.

Tertuduh turut mengaku memperolehi $2,950 dari jualan kereta-kereta tersebut. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada September dan Oktober tahun ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim.

ARTIKEL YANG SAMA