Menjaga kebersihan masjid tanggungjawab bersama

Menjaga kebersihan masjid tanggungjawab bersama

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail, Normazlina M.D, Mohamad Asyramisyanie, Hajah Saemah Kepli, Yusrin Junaidi & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Umat Islam di negara ini perlu peka dan menyandang tanggungjawab menjaga kebersihan masjid, surau dan balai ibadat supaya sentiasa dalam keadaan bersih.

Segala kemudahan seperti tandas, bilik wuduk dan kelengkapan lain perlu dijaga supaya sentiasa baik, kelihatan bersih dan tidak dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Gesaan itu dibuat oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Kempen Kebersihan Masjid, Surau dan Balai Ibadat Senegara yang berlangsung di Masjid Kampung Limau Manis sebagai salah satu masjid tumpuan di Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang bermula pada pukul 6:45 pagi itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim yang juga Ketua Kampung Putat.

Menteri Hal Ehwal Ugama menyertai kempen kebersihan masjid di Masjid Kampung Limau Manis pagi kelmarin.
Menteri Hal Ehwal Ugama menyertai kempen kebersihan masjid di Masjid Kampung Limau Manis pagi kelmarin.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad ketika meletakkan papan tanda ‘Kebersihan Masjid Tanggungjawab Bersama’ di Masjid Kampung Limau Manis.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad ketika meletakkan papan tanda ‘Kebersihan Masjid Tanggungjawab Bersama’ di Masjid Kampung Limau Manis.

Beliau yang juga selaku Pengerusi Majlis berkata, masjid yang dirujuk sebagai Rumah Allah mempunyai fungsi yang besar untuk dimanfaatkan bukan saja sebagai tempat beribadah kepada Allah S.W.T, malah menjadi pusat aktiviti masyarakat.

Sehubungan itu, menjaga kebersihan masjid merupakan tanggungjawab semua pihak agar kesucian tempat ibadah itu sentiasa terpelihara.

Beliau menjelaskan, Jabatan Hal Ehwal Masjid sentiasa berusaha untuk menjadikan masjid sebagai sebuah tempat ibadat yang bersih, suci, indah dan selamat. Maka bertepatan dengan kempen kebersihan yang diadakan, Jabatan Hal Ehwal Masjid juga mengadakan pertandingan Kempen Kebersihan Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara yang diadakan sepanjang tahun bermula pada Januari 2015 sehingga akhir Disember 2015.

“Ini adalah sebagai usaha berterusan dalam mengekalkan kebersihan masjid berada di tahap terbaik dan cemerlang,” ujarnya sambil menambah lima buah masjid telah terpilih sebagai tempat tumpuan pelancarannya, iaitu Masjid Kampung Limau Manis; Masjid Kampung Belimbing; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong; Masjid Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait; dan Masjid RPN Kampung Rataie, Daerah Temburong.

Pelancaran kempen kebersihan di Masjid Kampung Belimbing dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Masjid RPN Bukit Beruang dihadiri oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menanam pokok bunga di Masjid Kampung Belimbing.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menanam pokok bunga di Masjid Kampung Belimbing.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika menyertai kempen kebersihan di Masjid RPN Bukit Beruang.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika menyertai kempen kebersihan di Masjid RPN Bukit Beruang.
Awang Roslan semasa menyertai kempen kebersihan di Masjid Kampung Sungai Teraban.
Awang Roslan semasa menyertai kempen kebersihan di Masjid Kampung Sungai Teraban.
pg04_151015_e
Kempen kebersihan di Masjid RPN Kampung Rataie, Temburong. – Gambar Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Peletakan papan tanda ‘Kebersihan Masjid Tanggungjawab Bersama’ di Masjid RPN Kampung Rataie, Temburong. – Gambar Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Peletakan papan tanda ‘Kebersihan Masjid Tanggungjawab Bersama’ di Masjid RPN Kampung Rataie, Temburong. – Gambar Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Manakala kempen di Masjid Kampung Sungai Teraban dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah dan Masjid RPN Kampung Rataie, Daerah Temburong dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid selaku tetamu kehormat.

Turut hadir semasa kempen di kelima-lima masjid berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para jemputan khas, pengarah-pengarah, pegawai kanan serta kakitangan dari KHEU, anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah masjid dan jemaah masjid serta penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Kempen anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, di kesemua masjid berkenaan telah dimulakan dengan sembahyang fardu Subuh berjemaah diikuti dengan kuliah Subuh.

Seterusnya Kempen Kebersihan Masjid, Surau dan Balai Ibadat Senegara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan pengerusi dan tazkirah bertajuk ‘Kepentingan Kebersihan Masjid’ oleh penceramah-penceramah undangan.

Majlis turut menyaksikan upacara meletakkan papan tanda yang diiringi dengan selawat dan menanam pokok oleh tetamu kehormat.

Sementara itu, di Masjid RPN Bukit Beruang, majlis pelancaran turut diselajurkan dengan penyerahan hasil kutipan derma berjumlah $316.40 bagi Tabung Anak-anak Yatim Daerah Tutong yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali yang seterusnya menyerahkannya kepada Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku Pengerusi Tabung Anak-anak Yatim Daerah Tutong.

Sementara itu, hasil kutipan derma bagi Tabung Takmir Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong diserahkan kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah Peraduan Khat dan Mewarna bagi Kelas-kelas Al-Quran dan Muqaddam berumur 12 tahun ke bawah.

Susulan daripada pelancaran ini, kempen kebersihan akan diteruskan di masjid-masjid, balai ibadat dan surau di seluruh negara, yang akan dikendalikan oleh ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid masing-masing, sepanjang bulan Muharam ini.

Kempen kebersihan di Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.
Kempen kebersihan di Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.

Turut mengadakan aktiviti seumpamanya, hari ini, ialah Masjid Al-Muhtadee Billah Kampung Sungai Kebun yang diketuai oleh imam masjid berkenaan, Haji Abu Samah Shukri bin Haji Mohd Hussein.

Beliau semasa ditemui berkata, kerja gotong-royong dan kempen kebersihan itu adalah sebahagian daripada acara kebajikan serta kemasyarakatan yang dirancang bagi mengimarahkan lagi masjid berkenaan dan sekali gus menjadi salah satu projek menjadikan masjid sebagai tempat beribadah yang selesa.

“Acara berkebajikan seperti ini perlu dijadikan amalan dan dibudayakan bukan hanya pada masa tertentu sahaja kerana ia merupakan sebahagian daripada tuntutan agama yang menganjurkan kebersihan apatah lagi di kawasan dan dalam masjid yang merupakan rumah Allah S.W.T,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA