Menjana insan bertaqwa

Menjana insan bertaqwa

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 28 Mac – Seramai 26 orang saudara baru telah mengikuti Program Menjana Insan Bertaqwa anjuran Takmir Masjid Kampung Bukit Tutong dengan kerjasama Bahagian Dakwah Daerah Tutong dan Daerah Belait yang dikelolakan oleh Bahagian Sukarelawan Al-Hijrah dari Takmir Masjid Kampung Bukit.

Program melibatkan saudara-saudara baru dari Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait tersebut berjalan selama tiga hari dan berakhir semalam dengan majlis penutup yang berlangsung di Hotel Koperasi Seria.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar yang diiringi oleh Pengerusi, Haji Mohd Azley bin Haji Muhd Aliuddin.

Menurut seorang sukarelawan, Awang Shukry bin Jamil menjelaskan, objektif program ini adalah untuk melengkapkan para peserta supaya mereka dapat menghayati Rukun Islam dan mengetahui cara perlaksanaannya dengan sempurna.

Menurut beliau lagi, program ini dapat membantu saudara dan saudari baru bagi memberi kefahaman untuk mereka beribadah.

Para peserta bergambar ramai setelah berakhirnya program tersebut.
Para peserta bergambar ramai setelah berakhirnya program tersebut.

Melalui pengalaman dan pendedahan sebegini, mereka akan dapat memahami persekitaran dengan lebih jelas dalam pergaulan sesama sendiri.

“Mereka ini sentiasa dibimbing dengan baik dan penuh tanggungjawab bagi melahirkan insan proaktif yang mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti-aktiviti kerohanian dan jasmani,” tambah Awang Shukry lagi.

Antara aktiviti serta kuliah agama yang mereka hadiri dan ikuti adalah Fadilat Solat Berjemaah, berpuasa, solat sebagai satu kewajipan, mempelajari Qiammulail dan Solat Tahajjud berjemaah, melawat ke Pusat Dakwah Islamiah dan Pusat Promosi Kesihatan serta mengikuti bengkel-bengkel praktikal dalam menunaikan solat fardu dengan sempurna serta menghalusi bacaan-bacaan dalam bersolat serta cara-cara praktikal dalam berwuduk.

ARTIKEL YANG SAMA