Menjana perkembangan pendidikan

Menjana perkembangan pendidikan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Seminar Antarabangsa Pendidikan Syariah Fiqh Al-Iqtisad Al-Islami yang berakhir hari ini mencadangkan supaya Negara Brunei Darussalam melalui pengelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) perlu memiliki Dana Tarbiah untuk menjana perkembangan pendidikan di negara ini.

Seminar dua hari yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan membawa tema ‘Menjana Ekonomi Islam Melalui Zakat dan Wakaf’ itu juga mencadangkan penyediaan kertas kerja yang rapi dan mantap mengenai Dana Tarbiah disediakan untuk dicadangkan kepada KHEU.

Selain itu, seminar itu juga mencadangkan setiap institusi pendidikan dicadangkan agar memiliki dana tarbiah sendiri bagi keperluan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta proses pendidikan di institusi masing-masing.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup seminar itu ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Besar.

Tetamu kehormat (kanan) menerima Resolusi seminar daripada Dr. Hajah Noor Hira.
Tetamu kehormat (kanan) menerima Resolusi seminar daripada Dr. Hajah Noor Hira.
Dr. Haji Adanan semasa menghadiri Seminar Antarabangsa Pendidikan Syariah Fiqh Al-Iqtisad Al-Islami, semalam.
Dr. Haji Adanan semasa menghadiri Seminar Antarabangsa Pendidikan Syariah Fiqh Al-Iqtisad Al-Islami, semalam.

Ketua Pelapor Seminar, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar juga membacakan lapan resolusi yang telah disepakati bersama iaitu kepentingan zakat dan wakaf dijadikan sebagai instrumen dalam menjana ekonomi Islam.

Seminar itu juga merumuskan bahawa perlunya pengurusan zakat dan wakaf secara profesional dalam menghadapi cabaran ekonomi global masa kini, pengurusan dan pengelolaan zakat dan wakaf dalam rangka mempergayakan ekonomi dan menangani kemiskinan umat Islam maka diperlukan adanya usaha pengembangan zakat dan wakaf selaras dengan pengembangan kontemporari.

Resolusi seterusnya ialah pengendalian dan pengembangan zakat dan wakaf dalam konteks kontemporari hendaklah menepati cara-cara perundangan syariah.

Resolusi itu menggariskan bahawa institusi-institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan melalui pendidikan secara formal dan tidak formal dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya zakat dan wakaf serta menggalakkan mereka mengimfak dalam pendidikan sebagai satu amal jariah.

Manakala itu, resolusi keenam menggariskan dalam konteks memperkasa dan meningkatkan pengendalian zakat dan wakaf ke arah yang lebih optimum maka pihak yang berkaitan dalam bidang penyelidikan dan kajian perlu mewujudkan jaringan kerjasama yang bertujuan untuk perkongsian maklumat dan pemantauan perkembangan zakat dan wakaf secara global.

Membacakan resolusi ketujuh seminar berkenaan, beliau berkata dalam mencapai matlamat pensyariatan zakat secara optimum, kutipan zakat dan pengagihannya dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Resolusi terakhir ialah seminar sepakat menggariskan dalam pengagihan zakat, keutamaan hendaklah diberikan kepada asnaf fakir dan miskin tanpa mengabaikan asnaf yang lain.

Awal daripada itu, tetamu kehormat dalam ucapannya berkata, perbincangan yang diadakan sepanjang dua hari itu menarik kerana isu-isu yang berkaitan dengan zakat dan wakaf telah dibincangkan dengan terperinci.

Beliau berharap segala hasil perbincangan yang positif harus praktik sementara yang negatif dijadikan sempadan.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau melahirkan harapan agar resolusi seminar tersebut akan menjadi satu garis pandu untuk membuat tindakan yang seterusnya sementara kertas kerja yang dihasilkan bagi seminar itu akan terus diguna pakai.

Seminar yang berlangsung di KUPU SB dengan disertai seramai 26 orang peserta itu menyaksikan para pembentang kertas kerja dari institusi pendidikan tinggi di dalam dan luar negara membentangkan satu kertas kerja perdana, satu kertas kerja utama dan 24 kertas kerja sampingan.

ARTIKEL YANG SAMA