Menjana pertumbuhan ekonomi

Menjana pertumbuhan ekonomi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Sektor perkhidmatan kewangan Negara Brunei Darussalam menggalas peranan penting dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan meningkat kepada lapan peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Perantaraan sektor kewangan dalam memberikan sokongan kepada pertumbuhan pelbagai industri di negara ini dan usaha berterusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) melibatkan pihak berkepentingan untuk melakar peranan lebih jelas terhadap pertumbuhan sektor industri merupakan langkah penting ke arah merealisasikan Wawasan 2035.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika merasmikan Seminar Meja Bulat Tahunan Negara Brunei Darussalam Ke-11 di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir sama pada seminar meja bulat itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, ahli Lembaga Pengarah AMBD, setiausaha tetap serta pegawai kanan kerajaan dan sektor swasta.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan ucaptama di seminar tersebut. - Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan ucaptama di seminar tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
Pengarah Urusan Sub-Sektor Antarabangsa Bank Pusat Filipina, Wilhelmina C. Manalac ketika menyam-paikan ucapan tentang Integrasi Ekonomi ASEAN dan Peranan Bank-bank Pusat.
Pengarah Urusan Sub-Sektor Antarabangsa Bank Pusat Filipina, Wilhelmina C. Manalac ketika menyam-paikan ucapan tentang Integrasi Ekonomi ASEAN dan Peranan Bank-bank Pusat.

Beliau yang juga selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD berkata, bagi jangka masa panjang kerjasama antara AMBD dan Kementerian Kewangan untuk menubuhkan bursa saham di negara ini merupakan satu langkah penting ke arah mewujudkan pasaran modal.

“Penubuhan bursa saham itu dijangka memainkan peranan signifikan dalam mempertingkatkan lagi sumbangan sektor kewangan ke arah KDNK, sejajar dengan aspirasi Wawasan 2015,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, untuk mencapai matlamat itu, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh AMBD dan Kementerian Kewangan terutama dalam bidang perundangan dan infrastruktur fizikal, perlindungan pelabur dan untuk meningkatkan kesedaran awam.

Menurutnya, penguatkuasaan Perintah Pasaran Saham pada 2013 dan Peraturan Pasaran Saham awal tahun ini merupakan antara pencapaian penting negara ini untuk mewujudkan pasaran modal.

Beliau menegaskan, rangka kerja kedua-dua undang-undang itu direka sejajar dengan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO), yang sekali gus menggambarkan usaha berterusan negara ini untuk memantapkan infrastruktur pengawalseliaan yang diperlukan untuk mendukung pembangunan pasaran modal di negara ini.

Menyentuh mengenai persidangan meja bulat itu, Yang Berhormat Pehin berkata, tema yang dipilih, iaitu ‘Menjana dan Mengekalkan Pertumbuhan’, adalah sesuai dan relevan memandangkan suasana ekonomi yang tidak menentu dan cabaran untuk pertumbuhan yang mapan.

Seminar itu memberi peluang kepada para pengawal selia dan peserta industri tempatan serta serantau untuk berkongsi buah fikiran dan maklumat mengenai strategi pelaburan terkini di Asia serta perkembangan ekonomi dan infrastruktur pasaran kewangan di rantau ASEAN.

Ia dijangka akan membantu peluang pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Seminar meja bulat anjuran bersama Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) dan Asia Asset Management Hong Kong (AAM) tahun ini dihadiri oleh lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk para pegawai kerajaan, pengawal selia bidang kewangan dan peserta industri.

ARTIKEL YANG SAMA