Menjayakan Wawasan Brunei tanggungjawab bersama

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), pagi tadi, telah mengadakan Sesi Pemberigaan Wawasan Brunei 2035 kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Baru Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Sekretariat Tetap Wawasan Brunei, Awang Nadzri bin Haji Yahya.

Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa menjayakan Wawasan Brunei bukanlah tanggungjawab tunggal kepada kerajaan atau sesebuah kementerian atau jabatan kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Di sinilah kepentingan peranan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung sebagai pemimpin akar umbi untuk membantu menyebarkan keperluan ini kepada pelosok masyarakat.”

Menurutnya, taklimat berkenaan adalah salah satu daripada usaha yang telah dimandatkan oleh Majlis Tertinggi Wawasan Brunei bagi memastikan Wawasan Brunei 2035 diberigakan kepada seluruh rakyat negara ini.

Awang Nadzri semasa menyampaikan ucapannya.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Program pemberigaan ini, jelasnya lagi, telah bermula secara rasmi pada tahun 2016 dengan pelbagai aktiviti termasuk pemberigaan kepada kira-kira 1,600 orang pegawai dan kementerian-kementerian kerajaan dan sesi-sesi bersama dengan pelbagai agensi contohnya Institut Perkhidmatan awam, Jabatan Penerangan dan Darussalam Enterprise (DARe).

Usaha sekarang, jelas beliau, tertumpu kepada pemberigaan kepada pemimpin akar umbi, komuniti perniagaan, institusi-institusi pendidikan dan rakyat umum.

Awang Nadzri berharap agar semua dapat memperolehi maklumat bagi mengorak langkah ke arah perubahan yang akan menyumbang kepada kejayaan Wawasan Brunei 2035 dan akan dapat memberi ruang dan peluang untuk mendalami tentang Wawasan 2035 dan membincangkan kaedah untuk penyelarasan dan penyebarluasan maklumat.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan taklimat yang telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Kanan dan Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Awang Nazdeny bin Haji Johan.

Beliau dalam taklimatnya antara lain menyentuh mengenai pengenalan kepada Wawasan 2035 terutama daripada aspek urus tadbir, kerangka kerja wawasan dan usaha di peringkat perlaksanaan.

Menurutnya, Wawasan Brunei 2035 mempunyai tiga matlamat iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kualiti kehidupan rakyat dan ekonomi yang dinamik yang berdaya tahan.

Juga hadir di majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku penghulu Mukim Berakas ‘B’ dan Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Sesi berkenaan merupakan yang keempat yang telah dijadualkan untuk diadakan bagi keempat-empat daerah dan seramai 45 orang penghulu mukim dan ketua kampung dari Daerah Brunei Muara bagi Zon 1 dan Zon 3.