Menjenamakan kopi ala tentera

Menjenamakan kopi ala tentera

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kopi tiada kaitan sama sekali dengan kenderaan tentera, namun hakikat itu sehinggalah seorang ahli perniagaan membuat keputusan untuk mempromosi jenama kopinya menggunakan trak tentera.

Kamarul Ariff Abd Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zawara Coffee Sdn Bhd, menggunakan pendekatan mengejutkan untuk mempopularkan francais Zawara Coffee.

Bekas juruterbang komersial ini, yang mempunyai minat mendalam terhadap trak tentera, kapal terbang, helikopter dan segala perkara yang mencabar, memilih reka bentuk ala tentera pada kenderaan itu untuk menarik kunjungan pelanggan ke cawangan kafe miliknya, iaitu 10 buah di Lembah Klang manakala cawangan ke-11 akan dibuka di Seremban esok.

Rakan niaga dan Ketua Pegawai Operasi Nur Fadilla Abd Karim, 31, berkata abangnya Kamarul Arif berhenti kerja untuk memperluaskan perniagaan mereka, Zawara Sdn Bhd, terutamanya francais Zawara Coffee, sebuah subsidiari yang dilancarkan awal tahun lepas di Bukit Jelutong, Selangor.

Beliau berkata trak kopi itu muncul sebagai peluang untuk memperluaskan rangkaian jenama Zawara Coffee, dan mereka membeli trak berkenaan melalui tawaran tender Kementerian Pertahanan yang dibuka awal tahun ini.

“Reka bentuk trak ini dihasilkan oleh pereka daripada syarikat kami manakala pelancar roket pula direka bentuk oleh pereka bengkel komersial. Jumlah keseluruhan kos trak dan reka bentuk mencecah hampir RM100,000,” katanya.

Nur Fadilla menjelaskan pelancar roket itu sebenarnya diperbuat daripada gentian plastik.

“Jadi, apabila kami bergerak di jalan raya, kami akan menanggalkan pelancar roket itu supaya ia tidak rosak.

“Kami beri slogan iklan ‘Take Your Shot’ bagi pelancar roket kami,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini.

Menjelaskan tentang slogan iklan itu, Nur Fadilla berkata memandangkan kopi adalah minuman tenaga, trak dilengkapi pelancar roket itu mewakili ‘tenaga sepenuhnya’.

Ditanya tentang reka bentuk trak tentera itu yang menimbulkan kontroversi, beliau berkata sekiranya dilihat dari dekat, sebenarnya trak itu dihiasi gambar makanan dan tiada sesuatu pun yang mempunyai kaitan dengan ketenteraan.

“Kami tidak fikir warna trak ini menyerupai tentera Malaysia. Kami hanya menggunakannya bagi tujuan pemasaran perniagaan kami.

“Trak ini bukan sekadar alat pengiklanan untuk memasarkan perniagaan kami, tetapi turut menarik keluarga untuk membawa anak mereka mengunjungi kafe kami, untuk berhibur sambil menikmati secawan kopi yang enak,” katanya.

Polis semalam menahan seorang lelaki dan merampas trak itu di Precinct 18, Putrajaya.

Nur Fadilla berkata mereka akan akur kepada arahan polis berhubung trak berkenaan.

Beliau berkata sebaik sahaja trak itu dikembalikan oleh pihak berkuasa, ia akan dicat semula dengan warna ungu dan hitam menggunakan identiti korporat syarikat itu manakala pelancar roket pula akan digantikan dengan cawan Zawara Coffee. – Bernama