Menjunjung kasih kehadapan majlis Raja yang dikasihi

Menjunjung kasih kehadapan majlis Raja yang dikasihi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Walaupun tidak memakan masa yang panjang, persembahan khas padang bagi Daerah Brunei dan Muara begitu padat yang dibahagikan kepada pelbagai segmen dan diisikan dengan tarian-tarian menarik dan juga permainan guling tangan.

“Apa yang menarik lagi, ianya dipersembahkan oleh penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah bagi Daerah Brunei dan Muara. Kita merasa bangga dan kagum dengan persembahan yang ditunjukkan,” ulas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong mengenai persembahan khas padang sempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin melahirkan perasaan gembira atas kejayaan persembahan berkenaan, yang menurutnya telah dapat mempersembahkan suatu persembahan menarik yang menepati tema bagi Daerah Brunei dan Muara (Daulat Raja Merentas Zaman).

Yang Berhormat Pehin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, turut berkata bahawa tiap-tiap daerah telah berusaha untuk membuat persembahan yang berlainan dan ini merupakan satu usaha ataupun inisiatif daerah-daerah berkenaan.

“Bagi pihak Jawatankuasa Tertinggi Kebangsaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, saya ingin menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena ulang tahun Baginda yang ke-70 tahun dengan doa semoga Baginda dan seluruh ahli kerabat diraja berada dalam keadaan sihat walafiat, dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam,” tambah Yang Berhormat lagi semasa ditemui pada majlis itu, pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa ditemu bual media.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa ditemu bual media.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain semasa ditemu bual media.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain semasa ditemu bual media.

Dalam kesibukan majlis berkenaan, wartawan Media Permata turut berkesempatan menemu bual Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi yang menekankan bahawa sebagai rakyat haruslah merasa bersyukur kerana negara ini mempunyai seorang pemimpin berwawasan jauh dan sayang akan rakyat Baginda sendiri.

“Saya sendiri juga merasa bersyukur kerana mempunyai seorang raja yang sanggup turun padang bukan sahaja untuk melihat tetapi memahami keperluan rakyat. Apa-apa kekurangan, Baginda akan memastikan perkara itu melalui menteri-menteri dan juga pihak-pihak kerajaan yang tertentu mahupun di pihak swasta untuk menanganinya bersama.”

Terdahulu, Yang Berhormat Dato turut menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan sembah ucapan tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan sempena dengan ulang tahun Baginda yang ke-70 tahun.

“Kita juga memanjatkan rasa kesyukuran dan mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta seluruh ahli kerabat Baginda akan sentiasa di bawah perlindungan Allah S.W.T., kekal karar memerintah negara turun-temurun dan mendoakan semoga Baginda sentiasa di bawah rahmat dan petunjuk Allah S.W.T.,” ujarnya.

Manakala itu, Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam juga melahirkan perasaan bersyukur kerana dapat menyambut ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun dalam suasana yang aman dan selamat.

Bercakap mengenai dengan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, beliau berkata, sejak Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula memerintah, Negara Brunei Darussalam juga membangun dan banyak perubahan ketara dapat dilihat dari segi perekonomian, politik, sumber-sumber tenaga dan manusia, pembangunan dan banyak lagi.

“Yang paling ketara lagi, keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap kebajikan rakyat negara ini di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia mahu negara ini sentiasa berada di dalam keadaan yang aman dan selamat.”

Menurutnya lagi, Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat di setiap daerah adalah begitu signifikan dan berharga kepada rakyat dan juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana ia menunjukkan kemesraan bagi bersama rakyat Baginda sendiri

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih semasa ditemui media.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih semasa ditemui media.

Dalam pada itu, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah juga mewakili seluruh anggota ABDB turut menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-70, tahun ini.

“Saya mendoakan agar Baginda dan seluruh ahli kerabat Baginda akan sentiasa menerima rahmat dan hidayah serta reda Allah S.W.T. agar Baginda kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.”

Menurut beliau lagi, pemerintahan Baginda Sultan kini telah menghampiri 50 tahun dan sudah banyak kemajuan yang dicapai oleh negara ini dalam pelbagai aspek yang berbeza.

“Rancangan yang paling terbesar bagi pemerintahan Baginda ini ialah Wawasan 2035, yang mana InsyaAllah, kita sama-sama akan mendokong dan menanai wawasan ini demi untuk kelangsungan dan kemajuan serta perkembangan Negara Brunei Darussalam bagi generasi-generasi yang akan datang.

“Kita dan juga kesemua Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa taat setia mendokong apa jua titah perintah Baginda dan apa juga wawasan Baginda untuk Negara Brunei Darussalam,” tambah Yang Dimuliakan Pehin lagi.

ARTIKEL YANG SAMA