Mensyukuri Hari Kebangsaan

Mensyukuri Hari Kebangsaan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Solat Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, Tahun 1437H/2016M yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, lewat petang hari ini.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Sejurus keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain, Azan Maghrib telah dilaungkan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Mudim Haji Metasim bin Haji Metussin.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama anakanda-anakanda Baginda semasa berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Solat Fardhu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama anakanda-anakanda Baginda semasa berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Solat Fardhu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran.

Ini diikuti dengan sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan seterusnya memimpin bacaan Surah Yasin beramai-ramai.

Seterusnya, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sementara itu, Azan Isyak pula dikumandangkan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh dan diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 ini juga telah diadakan di kesemua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa buah masjid sebagai tumpuan mengikut daerah masing-masing.

Di Daerah Brunei Muara masjid-masjid tumpuan termasuk Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Negara Lambak Kanan.

Manakala itu, di Daerah Belait pula ialah Masjid Muhammd Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Perpindahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria. Bagi Daerah Tutong pula, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar di Daerah Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA