Mensyukuri rezeki dari-Nya

Mensyukuri rezeki dari-Nya

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Jan – Bagi mengambil sukut permulaan tahun baru, Badan Nelayan Kampung Danau, hari ini, telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Doa Tolak Bala bagi nelayan-nelayan Mukim Telisai yang berlangsung di Masjid Kampung Danau, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit yang juga selaku Penghulu Mukim Telisai.

Majlis juga dihadiri oleh para nelayan Mukim Telisai yang terdiri daripada nelayan-nelayan Kampung Danau, Kampung Telisai dan Kampung Bukit Beruang.

Majlis dimulakan dengan menunaikan sembahyang Fardu Asar berjemaah dan diteruskan dengan doa kesyukuran dan doa tolak bala yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Danau, Pengiran Hassan bin Pengiran Haji Ismail.

Yang Berhormat Haji Ramli (tengah) ketika menghadiri majlis tersebut.
Yang Berhormat Haji Ramli (tengah) ketika menghadiri majlis tersebut.
Antara mereka yang hadir pada majlis tersebut.
Antara mereka yang hadir pada majlis tersebut.

Pengerusi Badan Nelayan Kampung Danau, Haji Haslan bin Haji Shahbuddin menyatakan, tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang memberikan sumber ikan sebagai sumber rezeki harian mereka, selain memohon tolak bala bagi terhindarnya sebarang kemalangan dan malapetaka kepada para nelayan.

Selain itu, majlis yang mengumpulkan lebih 50 orang ahli Badan Nelayan yang hadir pada musim tengkujuh itu juga dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim dalam kalangan mereka.