Mental Iceland belum kukuh tewaskan Les Bleus

Mental Iceland belum kukuh tewaskan Les Bleus

PARIS, 4 Julai – Iceland gagal menggunakan pemikiran mereka ketika tewas 5-2 kepada Perancis di Euro 2016, awal pagi tadi, kata jurulatih bersama skuad itu Lars Lagerback.

Bagaimanapun dia tetap bangga terhadap pencapaian pasukannya yang mara hingga ke peringkat suku akhir dalam penampilan pertama mereka di kejohanan terbabit.

Perancis mendahului 4-0 pada separuh masa pertama dalam aksi suku akhir, walaupun Iceland menunjukkan semangat melawan yang tinggi selepas rehat namun gagal mengulangi pencapaian mereka ketika meraih kemenangan ke atas England.

“Separuh masa pertama kelihatan seperti perlawanan playoff kedua menentang Croatia pada Piala Dunia (2014). Kami tidak menguruskan dengan baik dari segi mental,” kata Lagerback.

“Ia membabitkan beberapa perkara berkenaan mental yang berlaku kepada pemain. Kami tidak menggunakan otak, kami tidak bermain seperti biasa.

“Sebahagian daripadanya, Perancis bermain sangat baik tetapi kami tidak cukup bijak dalam membuat keputusan.

“Kami melakukan beberapa kesilapan bodoh, dan kami tidak beraksi dengan baik sebagai satu pasukan.”

Bagaimanapun, Lagerback dengan penuh bangga memuji aksi anak buahnya sepanjang kempen ini, apabila menang sekali dan dua kali seri pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum mengejutkan England di Nice.

“Ia adalah satu kejohanan yang hebat, jadi jutaan terima kasih kepada semua orang,” kata bekas pengendali Sweden itu.

“Ia adalah satu pengembaraan yang hebat bagi saya. Saya menikmatinya – mungkin bukan tempoh 45 pertama hari ini – tetapi semua masa saya di Iceland dan ia satu penghormatan sepanjang berada dalam pasukan.” – Agensi