Menteri Australia mohon maaf

Menteri Australia mohon maaf

SYDNEY, 13 Sept (AFP) – Menteri Imigresen Australia Peter Dutton memohon maaf hari ini selepas menyinggung perasaan pemimpin Pasifik dengan kenyataannya mengenai ‘air sudah sampai ke pintu rumah anda’ susulan rundingan serantau membabitkan perubahan iklim, mengatakan ia hanyalah untuk gurauan sahaja.

Dutton membuat komen itu ketika dia berbual dengan Perdana Menteri Tony Abbott pada Jumaat menjelang satu acara yang kelihatan bermula lambat, rancak bercerita ketika mikrofon terbuka dengan mengatakan, ‘masa tidak bermakna apa-apa apabila anda sepatutnya, anda tahulah, air sudah berada depan pintu anda.’

Abott baru sahaja kembali daripada mesyuarat Forum Pulau Pasifik (PIF) bersama pemimpin serantau lain di Papua New Guinea di mana memerangi perubahan iklim adalah isu utama.

“Saya sepatutnya menyedari mikrofon ada di sana, namun saya lupa,” Dutton memberitahu Sky News.

“Namun saya melakukan kesilapan. Saya meminta maaf kepada sesiapa sahaja yang tersinggung kerananya. Ia adalah satu kata gurauan dengan PM saya tidak bermaksud untuk menyinggung sesiapa.”

Perdana Menteri PNG Peter O’Neill yang mempengerusikan Mesyuarat PIF menerangkan hari ini, komen Dutton sebagai ‘paling malang’ dan menekankan bahawa ‘rakyat negara Asia Pasifik tidak menyebabkan perubahan iklim namun mereka menderita kerananya.’

“Paras air laut yang meningkat adalah satu isu serius menjejaskan beribu-ribu rakyat kami di sekitar Pasifik,” kata O’Neill dalam satu kenyataan.

“Masyarakat diancam dan mereka kehilangan rumah dan sumber makanan. Rakyat di sekitar Pasifik hidup dalam ketakutan apabila berlakunya ombak besar.”

Presiden Kiribati, Anote Tong yang secara aktif berkempen untuk tindakan perubahan iklim mengatakan semalam bahawa ‘ia sangat mengecewakan apabila kita bergurau mengenai satu isu yang serius.’

ARTIKEL YANG SAMA