Menteri beri jaminan Thailand tidak akan berdepan banjir teruk seperti 2011

BANGKOK, 12 Okt – Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Chatchai Sarikulya memberi jaminan bahawa negara itu tidak akan berdepan banjir teruk seperti yang berlaku pada 2011, berdasarkan maklumat terkini berkaitan paras air di empangan dan sungai, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Bagi meredakan kebimbangan orang ramai berhubung peningkatan jumlah air yang dilepaskan empangan Chao Phraya di wilayah Chai Nat, Chatchai berkata pada 2011, aliran air Sungai Chao Phraya di wilayah Nakhon Sawan adalah pada kadar 4,650 meter padu sesaat manakala aliran air ketika ini hanyalah 2,630 meter padu sesaat.

Pada 2011, empangan Chao Phraya telah melepaskan sejumlah 3,634 meter padu air sesaat manakala kadar terkini ialah 2,404 meter padu sesaat, kata menteri itu.

Ketua Pengarah Jabatan Peng-airan Diraja Thailand, Somkiat Prajamwong, berkata pengaliran masuk air ke Sungai Chao Phraya di wilayah Nakhon Sawan dijangka memuncak pada kadar 2,700 hingga 2,800 meter padu sesaat manakala kadar pelepasan air di empangan Chao Phraya telah dihadkan pada 2,600 meter padu sesaat. – Bernama