Menteri Brazil ketiga letak jawatan

Menteri Brazil ketiga letak jawatan

BRASILIA, 17 Jun (AFP) – Presiden sementara Brazil, Michel Temer kehilangan anggota kabinet ketiga dalam pentadbirannya yang baru berusia sebulan apabila menteri pelancongannya meletak jawatan semalam selepas dituduh menerima rasuah.

Menteri Pelancongan, Henrique Eduardo Alves, mengumumkan peletakan jawatannya selepas saksi utama menuduh beliau menerima 1.5 million reals yang dialih daripada syarikat minyak negara Petrobras.

Alves yang juga anggota parti pusat-kanan PMDB Temer, dalam satu surat terbuka, berkata beliau mengundur diri untuk mengelakkan daripada “mendatangkan masalah kepada kerajaan”.

Beliau menyertai bekas Menteri Ketelusan, Fabiano Silveira dan bekas Menteri Perancangan, Romero Juca yang terpaksa meletak jawatan berikutan pendedahan rakaman telefon yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.

Temer dan Alves antara sebahagian 20 ahli politik dalam senarai terbaharu seperti yang didakwa oleh Sergio Machado, bekas Ketua Eksekutif subsidiari Petrobras, Transpetro.

Reaksi Temer semasa menghadiri mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin parti Kongres Kebangsaan di Planalto Palace di Brasilia, pada 15 Julai lalu. Temer kehilangan anggota kabinet ketiga dalam pentadbirannya yang baru berusia sebulan apabila menteri pelancongannya meletak jawatan semalam selepas dituduh menerima rasuah. – AFP
Reaksi Temer semasa menghadiri mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin parti Kongres Kebangsaan di Planalto Palace di Brasilia, pada 15 Julai lalu. Temer kehilangan anggota kabinet ketiga dalam pentadbirannya yang baru berusia sebulan apabila menteri pelancongannya meletak jawatan semalam selepas dituduh menerima rasuah. – AFP

Machado berkata, dalam perjanjian pembelaan dengan pendakwa bahawa kedua-dua lelaki itu meminta wang daripada skim sogokan haram yang mengeluarkan kira-kira AS$2 bilion daripada syarikat minyak negara itu.

Machado berkata, Temer meminta kira-kira AS$430,000 untuk membiayai kempen sekutunya untuk jawatan Datuk Bandar Sao Paulo, menurut dokumen yang diterbitkan Rabu.

Temer yang marah dengan tuduhan itu membuat penafian secara terbuka di televisyen nasional semalam. Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai “remeh, pembohongan dan jenayah”.