Menteri hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Singapura

Menteri hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Singapura

SINGAPURA, 26 Julai – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman kelmarin menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri dan Luar Negeri Singapura, Masagos Zulkifli bin Masagos Mohammad, yang diadakan di Kelab Masyarakat Tampines West di Singapura.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Singapura, Heng Swee Keat selain daripada pemimpin-pemimpin akar umbi masyarakat setempat dan penduduk yang berbilang bangsa di kawasan berkenaan.

Selepas majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin juga mengunjungi rumah terbuka sambutan Hari Raya Menteri Negara Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Pertahanan, Dr. Mohammad Maliki Osman.

Yang Berhormat Pehin semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri dan Luar Negeri Singapura baru-baru ini.
Yang Berhormat Pehin semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri dan Luar Negeri Singapura baru-baru ini.

Kedatangan Yang Berhormat Pehin tersebut adalah bagi membalas kunjungan Masagos Zulkifli berserta rombongan terdiri daripada beberapa pemimpin Singapura serta isteri masing-masing yang mengadakan lawatan ke Brunei sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Kunjung mengunjung sempena Sambutan Hari Raya antara pemimpin kedua-dua buah negara berkenaan adalah sebagai tanda hubungan mesra dan muhibah antara negara ini dan Singapura.

Yang Berhormat Pehin juga akan menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Republik Singapura, Teo Chee Hean, yang akan diadakan minggu depan.

ARTIKEL YANG SAMA