Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri adakan kunjungan hormat

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri adakan kunjungan hormat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Undang-undang Republik Singapura, Tuan Yang Terutama K. Shanmugam di Pejabat Kementerian Undang-undang, Republik Singapura.

Dalam kunjungan itu, Yang Berhormat Pehin dan Tuan Yang Terutama turut membincangkan isu-isu berkaitan hal ehwal dalam negeri kedua-dua kementerian dan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Yang Berhormat Pehin berada di Singapura bagi menghadiri majlis perasmian Home Team Festival yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura atas undangan Tuan Yang Terutama.

Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 November bertempat di Dewan Ekspo Singapura itu bertujuan memberi pendedahan dan demonstrasi kepada orang awam tentang operasi, tindakan pencegahan dan pengawalan, peralatan-peralatan. Ia juga mempamerkan peranan dan tanggungjawab jabatan-jabatan berkenaan, atau lebih dikenali sebagai Home Team dalam menjaga keselamatan dan keamanan serta sumbangan ke arah pembangunan negara Republik Singapura sejak lebih dari 50 tahun yang lalu sehingga kini dan untuk masa hadapan.

pg03_151114_d

Selain itu, Yang Berhormat Pehin dan rombongan juga berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Akademi Pertahanan Awam Singapura dan Akademi Home Team Singapura. Akademi Pertahanan Awam merupakan institut latihan, khusus bagi agensi-agensi beruniform di bawah Kementerian Dalam Negeri yang berperanan ke atas penyediaan perkhidmatan kebombaan, penyelamatan, penjagaan perubatan pra-hospital, pengurusan bencana dan kecemasan awam dan seumpamanya.

Manakala Akademi Home Team Singapura adalah sebuah institut latihan bagi pegawai-pegawai pelbagai organisasi di bawah Kementerian Dalam Negeri, Republik Singapura, seperti Angkatan Polis Singapura, Angkatan Pertahanan Awam, Biro Pusat Narkotik, Jabatan Penjara, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan, Jabatan Keselamatan Dalaman dan lain-lain agensi.

Rombongan Yang Berhormat Pehin turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Haji Idris bin Haji Mohd Ali, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Haji Azmi bin Haji Hafneh dan Pemangku Timbalan Pengarah Penjara, Awang Poh Eng Hua.

ARTIKEL YANG SAMA