Menteri Hal Ehwal Ugama rai saudara baru dari Limbang

Menteri Hal Ehwal Ugama rai saudara baru dari Limbang

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini, telah menerima kunjungan Hari Raya Aidilfitri daripada seramai 80 orang saudara baru dari Daerah Limbang dan Daerah Lawas, Sarawak, Malaysia.

Majlis Kunjungan Hari Raya Aidilfitri pagi tadi itu telah diadakan di Mangrove Paradise Resort, Jalan Kota Batu dan rombongan telah diketuai oleh Pegawai dari Pejabat Agama Islam Sarawak (Bahagian Limbang), Ustaz Shazli bin Datuk Seri Haji Abdul Kadir.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid.

Rombongan berkenaan berada di Negara Brunei Darussalam bagi rangka Lawatan Muhibah selama dua hari dengan tujuan merapatkan lagi jalinan persaudaraan Islam dan silaturahim dalam kalangan saudara-saudara baru Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin bersama ketua rombongan, Ustaz Shazli semasa meraikan kunjungan saudara baru itu di Mangrove Paradise Resort, Jalan Kota Batu, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin bersama ketua rombongan, Ustaz Shazli semasa meraikan kunjungan saudara baru itu di Mangrove Paradise Resort, Jalan Kota Batu, kelmarin.

Sepanjang berada di negara ini, rombongan telah mengadakan lawatan dan perbincangan bersama Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan harapan dapat meneroka amalan-amalan terbaik PDI dalam memperkasa saudara-saudara baru di negara ini sekali gus mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar pandangan serta pengalaman kedua-dua pihak.

Rombongan turut berkesempatan mengadakan perjumpaan muhibah dengan saudara-saudara baru di negara ini dan menunaikan sembahyang Subuh berjemaah di Masjid Mohamed Bolkiah Kampong Serusop serta mendengarkan Kuliah Subuh yang disampaikan oleh pegawai masjid dari Jabatan Hal Ehwal Masjid.