Menteri Kanan Singapura adakan kunjungan Aidilfitri di Brunei

Menteri Kanan Singapura adakan kunjungan Aidilfitri di Brunei

Oleh Pg Fairol RMF & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman hari ini menerima kunjungan Hari Raya Aidilfitri daripada Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Luar, Republik Singapura, Dr. Mohamad Maliki bin Osman bersama isteri, Puan Sadiah Shahal serta rombongan di kediamannya di Sungai Tilong.

Turut serta dalam rombo-ngan Dr. Mohamad Maliki ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Baey Yam Keng bersama isteri Lim Hai Yen dan Setiausaha Parlimen, Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin serta Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Lim Hong Huai.

Dr. Mohamad Maliki bersama rombongan berada di negara ini dalam rangka kunjungan selama empat hari hingga 10 Julai ini bagi mengeratkan lagi silaturahim di antara kedua buah negara.

Hadir sama semasa kunju-ngan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abd Rahman dan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Terdahulu, Dr. Mohamad Maliki dan rombongan telah mengadakan kunjungan Aidilfitri kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman di kediamannya di Kampung Sungai Besar, Kota Batu.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi memberi cenderamata kenang-kenangan kepada Dr. Mohamad Maliki.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi memberi cenderamata kenang-kenangan kepada Dr. Mohamad Maliki.
Dr. Mohamad Maliki juga berkesempatan memberikan cenderamata kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Dr. Mohamad Maliki juga berkesempatan memberikan cenderamata kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama keluarganya bergambar ramai bersama Dr. Mohamad Maliki dan isteri, serta para delegasi dari Singapura.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama keluarganya bergambar ramai bersama Dr. Mohamad Maliki dan isteri, serta para delegasi dari Singapura.

Dr. Mohamad Maliki ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa kunjungan beliau ke Negara Brunei Darussalam di Hari Raya Aidilfitri ini adalah lambang talian silaturahim yang erat antara Singapura dengan Brunei.

“Saya juga berkesempatan menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam dan juga Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Kami mengharapkan bahawa Brunei akan terus makmur dan aman sentiasa.”

Menurut Dr. Mohamad Maliki, ini merupakan kali keempat beliau berkunjung ke Brunei bagi sama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri, dan daripada keempat-empat kunjungan tersebut, beliau mendapati bahawa terdapatnya keunikan di dalam perayaan di Brunei, terutamanya konsep rumah terbuka.

“Dan saya tahu selepas empat tahun melihat bagaimana ia dirayakan, ramai di antara sanak saudara, sahabat handai, dan juga jiran tetangga dengan senang hati mengunjungi antara satu sama lain. Ia menunjukkan tali persaudaraan yang ukhwah di antara para penduduk.”

Keunikan lain yang beliau dapati ialah hubungan yang erat di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

“Setiap tahun saya melihat bagaimana Kebawah Duli berkenan bercemar duli bertemu, berdiri, bersalaman dengan segenap lapisan rakyat. Saya rasa ini merupakan sesuatu yang menarik sekali di Brunei Darussalam,” ujar Dr. Mohamad Maliki.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura ke Brunei dalam kenyataannya berkata, selain menghadiri rumah-rumah terbuka Hari Raya menteri-menteri Brunei, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan, Dr. Mohamad Maliki juga akan menjadi tetamu kehormat pada rumah terbuka Hari Raya anjuran Suruhanjaya Tinggi Singapura di Brunei pada 10 Julai yang dijangka dihadiri oleh pemimpin dan pegawai-pegawai kanan Brunei serta komuniti Singapura di Brunei.

Dr. Mohamad Maliki juga dijadualkan melawat Kem Jalan Aman di Brunei pada 9 Julai untuk bertemu dengan para pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Republik Singapura yang berpangkalan di sana.

ARTIKEL YANG SAMA