Menteri Kebudayaan Islam bersidang

Menteri Kebudayaan Islam bersidang

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menghadiri Persidangan Menteri-menteri Kebudayaan Islam ke-9 yang berlangsung selama tiga hari, hingga hari ini, di Muscat, Kesultanan Oman.

Persidangan yang dihoskan oleh Kementerian Warisan dan Kebudayaan Kesultanan Oman itu telah dirasmikan dan dipengerusikan oleh Menteri Warisan dan Kebudayaan Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Sayyid Haitham bin Tariq Al Said.

Ia dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas kebudayaan dari dunia Islam, ketua-ketua delegasi, setiausaha agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan ketua pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, mesyuarat bertema ‘Ke Arah Pembangunan Masyarakat Muslim yang Menyokong Budaya Berpendirian Sederhana’ itu berobjektif untuk membantu melaksanakan strategi kebudayaan dunia Islam, menyokong laporan-laporan oleh ketua pengarah ISESCO serta memilih Majlis Perunding yang bertanggungjawab melaksanakan strategi-strategi berkenaan.

Tuan Yang Terutama Sayyid Haitham dalam ucapan alu-aluannya menekankan bawah tema ini merangkumi aspek-aspek penting yang menyatupadukan pembangunan budaya sederhana dan membolehkan kesederhanaan budaya, menyediakan skop lebih meluas bagi fahaman pelbagai budaya dan diversiti kebudayaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menghadiri Persidangan Menteri-menteri Kebudayaan Islam ke-9 yang berlangsung di Muscat, Oman.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menghadiri Persidangan Menteri-menteri Kebudayaan Islam ke-9 yang berlangsung di Muscat, Oman.

Beliau turut berkata, persidangan ini menggambarkan minat dunia Islam dalam matlamat agenda pembangunan mapan pasca 2016 yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kenyataan itu lagi, semasa sesi meja bulat, Yang Berhormat Pehin telah mengongsi strategi-strategi Brunei mengenai pengantaraan kebudayaan yang merangkumi kepentingan dasar-dasar dan pelaksanaannya untuk menyatupadukan masyarakat Brunei ke arah sebuah negara membangun dan mencapai Wawasan Brunei 2035.

Beliau mengetengahkan Falsafah Melayu Islam Beraja sebagai alat pengantaraan yang penting, mengukuhkan kepentingan politik, ekonomi dan sosiobudaya dalam pembangunan di Brunei Darussalam.

Semasa persidangan itu, Yang Berhormat Pehin bersama ketua-ketua delegasi lain juga telah menghadiri majlis perasmian ibu negeri Nizwa di rantau Ad-Dakhiliyah, Oman, sebagai Ibu Kota Islam bagi Kebudayaan 2015-2016.

Selain itu, persidangan berkenaan juga menerima pakai Deklarasi Muscat yang antara lain menyeru pengukuhan ikatan perpaduan kebudayaan dan menerima dialog-dialog antara budaya-budaya dan peradaban sebagai cara untuk menangani punca keganasan, fahaman pelampau dan pengganasan.

Sementara itu, sebelum persidangan berkenaan, Yang Berhormat Pehin juga telah mengadakan kunjungan muhibah kepada Tuan Yang Terutama Sayyid Haitham di pejabatnya di Muscat, di mana kedua-dua belah pihak antara lain membincangkan usaha-usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan mesra kedua-dua buah negara dan menekankan semula komitmen mereka untuk mempromosikan kerjasama pada semua peringkat terutamanya dalam aktiviti-aktiviti belia, pertukaran dan biasiswa.

Mengiringi Yang Berhormat Pehin ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Brunei Darussalam ke Oman, Tuan Yang Terutama Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Besar bin Haji Abu Bakar dan para pegawai kanan dari KKBS.

ARTIKEL YANG SAMA