Menteri kesihatan Korea Selatan dilucutkan

Menteri kesihatan Korea Selatan dilucutkan

SEOUL, 4 Ogos (AFP) – Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye hari ini mengganti menteri kesihatannya, yang bertanggungjawab atas tindak balas lemah kerajaan terhadap wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) yang telah membunuh 36 orang.

Moon Hyong-Pyo, yang telah menawarkan untuk meletak jawatan selepas meminta maaf kerana menimbulkan kebimbangan orang awam akibat wabak MERS terbesar di luar Arab Saudi, diganti oleh Chung Chin-Youb, seorang profesor hospital Universiti Kebangsaan Seoul, kata pejabat presiden.

Rombakan kabinet diadakan seminggu selepas Korea Selatan mengisytiharkan berakhirnya wabak MERS, dengan seorang pesakit masih menjalani rawatan di hospital.

Tidak ada jangkitan MERS tambahan yang telah dilaporkan sejak 4 Julai, tetapi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia mewajibkan tempoh menunggu empat minggu selepas pesakit MERS terakhir sembuh sepenuhnya, sebelum mengisytiharkan wabak berakhir.

Beribu-ribu sekolah ditutup pada kemuncak wabak tatkala ibu bapa yang bimbang tidak membenarkan anak mereka keluar dari rumah.

Bekas menteri kesihatan Korea Selatan Moon Hyong-Pyo yang telah dilucutkan dari jawatan.
Bekas menteri kesihatan Korea Selatan Moon Hyong-Pyo yang telah dilucutkan dari jawatan.

Kerajaan memperkenalkan langkah kuarantin besar-besaran dan mengurung hampir 17,000 orang di dalam rumah untuk mengelak virus daripada merebak ke pusat perubatan.

Wabak memberi kesan teruk ke atas ekonomi negara, membantut perbelanjaan pengguna dan memusnahkan sektor pelancongan.

Perniagaan tempatan termasuk gedung membeli-belah, restoran dan panggung wayang melaporkan kemerosotan mendadak dalam jualan tatkala orang meninggalkan tempat awam yang mempunyai ramai orang.

Kerajaan telah mengumumkan pakej perangsang berjumlah 22 trilion won, kebanyakannya bertujuan menyokong perniagaan yang terjejas akibat krisis MERS.