Menteri KKBS terima kunjungan menteri Sarawak

Menteri KKBS terima kunjungan menteri Sarawak

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, semalam telah menerima kunjungan muhibah daripada Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai ehwal sukan di Negeri Sarawak berserta rombongan di pejabatnya di Berakas.

Semasa kunjungan hormat tersebut, Tan Sri William menyampaikan persediaan Negeri Sarawak dalam Kejohanan Sukan Malaysia XVIII (SUKMA XVIII) di samping bertukar-tukar pandangan bagi mengeratkan lagi kerjasama di antara kedua-dua negara di bidang sukan.

Negeri Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia, Tahun 2016 yang dijadualkan bermula pada 22-31 Julai 2016. Kejohanan ini akan mempertandingkan sebanyak 24 acara sukan yang terdiri daripada 19 acara sukan utama dan selebihnya acara sukan pilihan.

Ikut serta dalam rombongan ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Operasi), Datuk Ose Murang; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak, Kameri Haji Affandi; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Sarawak, Haji Abdul Haris Ishak; dan Kordinator SUKMA XVIII Sarawak, Tahun 2016, Affendi Keli.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama rombongan Tan Sri William Mawan kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama rombongan Tan Sri William Mawan kelmarin.

Turut hadir dalam kunjungan hormat ini ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Negara Brunei Darussalam telah menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) sebanyak sembilan kali sejak tahun 1996, yang mana pada tahun 2014, negara telah berjaya mengutip satu pingat emas dalam acara Karate-do.

Selesai kunjungan hormat, satu sesi taklimat telah disampaikan oleh wakil delegasi Sarawak mengenai penganjuran SUKMA XVIII 2016 yang diadakan di Bilik Mesyuarat At-Taufiq, Tingkat 6, KKBS.

ARTIKEL YANG SAMA