Menteri Luar Perancis melawat Iran ‘minggu depan’

Menteri Luar Perancis melawat Iran ‘minggu depan’

PARIS, 21 Julai – Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengatakan hari ini dia akan mengunjungi Iran ‘minggu depan’, selepas perjanjian bersejarah berhubung program nuklearnya, dan dijangkakan akan mengadakan rundingan dengan Presiden Hassan Rouhani.

Walaupun Fabius tidak memberikan butiran tepat, pembantunya memberitahu AFP yang lawatan itu sepertinya akan diadakan pada Rabu depan.

“Saya akan berada di sana minggu depan,” Fabius memberitahu radio Perancis. “Rakan saya (Mohammad Javad Zarif) mengundang saya. Saya dijemput sebelumnya namun tidak pergi, kini saya rasa semuanya sudah tepat bagi saya untuk pergi,” katanya, menambah yang rundingan dengan Presiden Iran, Hassan Rouhani ‘akan dijangkakan’.

“Saya rasa ia sepenuhnya normal bahawa selepas perjanjian bersejarah ini ditandatangani, Perancis dan Iran seharusnya memulakan hubungan yang normal,” tekan Fabius.

Lawatan Fabius akan menjadi lawatan serupa daripada Menteri Ekonomi Jerman, Sigmar Gabriel, yang menjadi pegawai Barat tertinggi pertama yang mengunjungi negara itu sejak kuasa-kuasa dunia dan Tehran memeterai perjanjian nuklear selepas bertahun-tahun rundingan.

Kuasa-kuasa dan firma-firma Barat sedang berusaha untuk mengambil manfaat daripada pakatan nuklear yang lama tertangguh untuk masuk ke dalam ekonomi Iran. Perancis sudah mempunyai kehadiran lama di Iran sebelum sekatan itu berkuat kuasa dengan Peugeot dan Renault menjadi pemain utama dalam industri auto Iran dan syarikat tenaga Total yang terlibat dalam sektor minyak.

Namun perdagangan dua hala telah jatuh daripada empat bilion euro ($4.3 bilion) pada 2004 kepada hanya 500 juta euro pada 2013, menurut statistik Perancis.

Persekutuan majikan Perancis, MEDEF, dijangka akan mengunjungi Iran pada September untuk cuba memulakan hubungan.

Kira-kira 107 perwakilan daripada badan berkenaan berkunjung ke Iran awal tahun lepas, mencetuskan kemarahan di Amerika Syarikat yang mengatakan ia adalah terlalu awal untuk memulakan perniagaan dengan Tehran. – AFP