Menteri Luar Singapura lawat Sabah

Menteri Luar Singapura lawat Sabah

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) – Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Sabah, mulai hari ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra), dalam kenyataan malam tadi, berkata Dr Vivian akan menghoskan majlis resepsi penghargaan di Kota Kinabalu, Sabtu ini.

Majlis tersebut merupakan tanda penghargaan kerajaan Singapura terhadap bantuan Malaysia kepada Pasukan Bertindak Krisis Singapura susulan tragedi gempa bumi di Ranau, Sabah, 5 Jun tahun lepas.

Gempa bumi tersebut telah meragut 18 nyawa termasuk lapan warganegara Singapura.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, akan turut menghoskan jamuan makan tengah hari bagi meraikan rakan sejawatannya itu pada hari yang sama.

Dalam lawatan tersebut, Dr Vivian juga dijadualkan membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan beberapa menteri kabinet negeri yang lain.